Tak mungkin ada lagi ‘one-club man’ di bola sepak Malaysia?
Dimanakah letaknya kesetiaan kepada pasukan jika kerap kali kita melihat bintang bola sepak saling bertukar-tukar kelab antara satu sama yang lain?
Sepertinya bilangan pemain yang kekal memilih kelab yang sama dari mula karier bola sepak mereka hingga kini boleh dikira dengan jari sahaja.
Gelaran ‘anak jati’ sesebuah kelab dilihat semakin pudar dengan keminatan serta kemampuan kelab yang lain untuk membeli pemain itu.
Syabas buat pemain tengah Azam Azih dan juga pemain pertahanan tengah Rawilson Batuil yang kekal teguh bersama kelab yang sama sehingga berjaya meraih kejayaan ‘angka 200’!
Menyaksikan ramai kemasukan dan keluar rakan-rakan seperjuangan, Azam terus menjadi bintang bersinar di Sri Pahang FC sejak 2015 lagi. Manakala, Rawilson sudah berada bersama Sabah FC hampir 10 tahun sekarang.
Terdapat juga pemain yang sudah lama bertahan bersama kelab yang sama selama berbelas tahun namun kecundang juga dan mula beralih-alih pasukan sejak itu.
Sebagai contoh, pemain bahagian penyerang Amri Yahyah yang dahulunya kekal di Selangor FC untuk 12 tahun lamanya, hinggalah beliau dibeli pasukan terbaik ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan terus berubah-ubah menimba pengalaman dalam pelbagai kelab yang lain.
Suka ataupun tidak, sukan bola sepak kini bagaikan mempunyai suatu misi perniagaan dan berkait rapat dengan terma ‘Cash is King’. Tiada apa yang salah dan tiada juga yang betul dalam hal ini kerana hanya keputusan akhirnya yang dinantikan dan akan menjawab segala spekulasi.
Adakalanya juga pemain tersebut yang mencari jalan untuk ke sesebuah kelab demi mendalami dan mengembangkan lagi bakat bola sepaknya serta mencari kesesuaian diri dalam kelab itu.
Jika dilihat sekarang, pemain tengah Afiq Fazail barangkali akan menjadi ‘one-club man’ yang akan datang juga. Andai ianya benar suatu hari nanti, ia akan menjadi satu lagi pencapaian hebat buat pasukan JDT yang mampu mengasah serta menghargai bakat pemain tempatan yang hebat.
Selain itu, penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC Ifwat Akmal turut berpotensi dalam menjadi ‘one-club man’ hasil kekal setia bersama pasukan Kedah meskipun sering dimasukkan dan dikeluarkan dari kesebelasan utama.
Semoga lebih ramai pemain yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘one-club man’ didalam liga Malaysia sekaligus membuktikan kesetiaan kepada naik turunnya pasukan yang didudukinya.