Chan Peng Soon ibarat abang, sentiasa nasihat dan bantu kami tingkatkan prestasi – Toh Ee Wei
Pemain beregu campuran Malaysia, Toh Ee Wei mendedahkan bahawa jaguh kebangsaan, Chan Peng Soon sentiasa memberi nasihat kepada beliau dan pasangannya, Chen Tang Jie untuk meningkatkan prestasi mereka.
Katanya, sejak berada dalam pasukan kebangsaan, Peng Soon sentiasa menjaga mereka dan membantu mereka menyesuaikan diri.
“Peng Soon ibarat abang kami, beliau sentiasa jaga kami dari hari pertama masuk ke dalam skuad.
Beliau sentiasa beri nasihat kepada kami juga untuk meningkatkan tahap permainan,”
Mengenai persiapan untuk ke kejohanan BWF World Tour Finals 2023 yang akan bermula 13 Disember ini, Ee Wei berkata beliau tidak meletakkan sasaran khusus pada kejohanan itu dan hanya mahu melakukan yang terbaik.
Katanya, motivasi terbesar mereka buat masa ini adalah untuk mengumpul mata sebanyak mungkin untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kita tiada letakkan sasaran yang khusus, cuma kita perbanyakkan latihan lagi untuk pastikan kita dapat buat yang terbaik.
Kita mahu layak ke Olimpik kerana Tang Jie juga kata ia merupakan sasarannya untuk berada di pentas Olimpik.” Beliau merasakan bahawa prestasi mereka sepanjang tahun ini agak baik dengan peningkatan pantas yang ditunjukkan untuk mendaki kedudukan 10 terbaik dunia.