NESDEG mahu beri kesedaran kepada pelajar sekolah bermula tahun 2024
E-sukan kini menjadi fenomena dalam setiap lapisan umur kerana semakin ramai yang bermain permainan video dalam telefon pintar sehingga ia kini diiktiraf sebagai salah satu sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sama seperti sukan lain, e-sukan juga perlukan garis panduan bagi memastikan kebajikan dan hak pemain yang merangkumi pelan kerjaya, penajaan dan program pembangunan dilindungi dan ditambahbaik di setiap peringkat.
Menurut Penolong Naib Presiden, Program Esports Integrated (ESI) iaitu En Junaidy Al Johary berkata pihak telah menubuhkan NESDEG (Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan) yang mana mereka kini mengadakan jelajah NESDAQ di seluruh negara.
Tidak hanya memberi fokus kepada pemain e-sukan sedia ada sahaja, mereka turut mempunyai perancangan untuk mengadakan jelajah NESDEG di sekolah-sekolah bagi memberi kesedaran kepada pelajar sekolah.
“Bagi saya memang patut NESDEG diperkenalkan kepada pelajar sekolah kerana kita nak mencari bakat baru sudah tentu menerusi program akar-umbi dan ia pastinya dari peringkat sekolah sama seperti sukan-sukan lain seperti bola sepak dan lain-lain.
Jadi itu tujuan kami juga untuk beri kesedaran kepada pelajar-pelajar sekolah dan insyaAllah pada tahun depan jika tiada aral melintang kita akan memberi kesedaran di sekolah-sekolah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Junaidy, NESDEG mempunyai enam teras iaitu pengurusan kontrak kepada pemain, penerapan tadbir urus dalam penganjuran acara, pemantauan dan perlindungan kepada kanak-kanak, kod tatakelakuan dan etika, laluan kerjaya dan juga aplikasi sains dan perubatan sukan di dalam sukan elektronik.
Jelasnya lagi, NESDEG bertujuan untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi mengenai objektif utama penubuhan NESDEG.
“Mewujudkan industri sukan elektronik yang bertanggungjawab dan beretika dengan mengambil kira persepsi masyarakat, penglibatan wanita dan kanak-kanak termasuk mengimbangi aktiviti sukan elektronik dengan aktiviti fizikal yang lain.”
Pada masa sama beliau turut mahu mengukuhkan kerjasama strategik antara pemain dan penggiat industri menerusi kerjasama strategik dan persefahaman pintar.
Dengan adanya NESDEG, industri e-sukan negara dijangka akan terus berkembang maju yang mana ia mampu menjadikan negara sebagai salah satu kuasa besar di ASEAN kelak.