Kecacatan padang SNBJ bayangi malam bersejarah JDT

132

Tamat sudah perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC yang menyaksikan Hariamau Selatan berjaya menjulang piala tersebut buat musim kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, malam yang bersejarah buat Harimau Selatan itu dicemari dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang sangat menyedihkan.


Pada perlawanan itu, kelihatan rumput di stadium itu sangat teruk dan bukan standard untuk menganjurkan perlawanan berprestij seperti perlawanan akhir Piala Malaysia.

Boleh dilihat pergerakan bola tidak lancar di kawasan rumput yang rosak, dan pemain juga mudah terjatuh apabila bermain di kawasan tersebut.

Pada perlawanan itu juga, pemain JDT yang juga pertahanan kebangsaan, Corbin Ong mengalami kecederaan ketika bermain di kawasan rumput rosak itu, satu kebimbangan buat peminat bola sepak negara menjelang Piala Asia 2023.

Diharapkan perlawanan pada malam ini menjadi satu pengajaran yang berguna buat pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam menjaga padang di SNBJ dengan lebih baik.

Banyak lagi yang perlu dipelajari oleh pihak PSM dalam penjagaan rumput supaya perkara sama tidak berulang lagi.

Perlawanan seterusnya di SNBJ adalah pada Mac nanti apabila Malaysia menentang Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, dan peminat pastinya berharap tiada lagi isu melibatkan padang.