Kenapa kelab bola sepak di Malaysia sukar dapat tajaan?

1,039

Sukan bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia dan merupakan sukan nombor satu di majoriti negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri.

Populariti sukan bola sepak di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan sukan-sukan lain kerana ia mempunyai jutaan peminat tapi malangnya ia tidak dapat diterjemahkan kepada nilai komersial liga bola sepak tempatan.


Liga Malaysia mempunyai beberapa divisyen dibawahnya iaitu Liga Super (liga utama) dan Liga Perdana (dimansuhkan buat sementara waktu) merupakan liga profesional, manakala Liga M3, Liga M4 dan Liga M5 merupakan liga semi-profesional dan amatur.

Disebalik kemeriahan bola sepak tempatan sebagai sukan nombor satu negara, namun saban tahun ia tidak dapat lari dari masalah utama iaitu masalah kewangan dan sejak penswastaan liga masalah kewangan menjadi semakin parah.

Ini kerana sebelum ini majoriti pasukan yang bertanding adalah pasukan negeri yang mana mereka mendapat suntikan dana daripada pihak kerajaan negeri dalam jumlah yang cukup besar membuatkan pihak pengurusan pasukan tidak perlu terlalu pening untuk mencari penaja untuk menampung perbelanjaan pasukan.

Bagaimanapun penswastaan liga bola sepak perlu dilaksanakan supaya pihak kerajaan negeri tidak ‘membuang’ wang puluhan juta ringgit setiap tahun untuk pasukan bola sepak kerana dana tersebut boleh digunakan untuk pembangunan negeri serta membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

Penswastaan liga dan kelab bola sepak adalah satu inisiatif yang cukup baik bagi memastikan ia diuruskan dengan lebih profesional lagi tanpa melibatkan pengaruh politik dalam sesebuah pasukan bola sepak.

Walaubagaimanapun inisiatif itu tampaknya masih belum berjaya sepenuhnya apabila banyak pasukan yang terjejas teruk apabila gagal untuk menampung perbelanjaan pasukan sehingga berlakunya masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Masalah tunggakan gaji ini umpama barah dalam bola sepak tanah air ketika ini apabila banyak pasukan termasuk pasukan besar juga berdepan masalah sama.

Ketika ini cuma kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang boleh dijadikan sebagai contoh terbaik kerana tidak pernah berdepan sebarang masalah tunggakan gaji sejak diambil alih oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.

Namun ia tidak bermakna kelab itu tidak berdepan cabaran sebaliknya TMJ pernah mendedahkan bahawa baginda dan ayahanda Sultan Ibrahim juga terpaksa mengeluarkan wang mereka sendiri untuk kelangsungan kelab biarpun mempunyai penaja-penaja antarabangsa.

JDT cukup bertuah kerana bukan sahaja mempunyai pemilik yang mempunyai sumber kewangan yang kuat, tetapi juga mempunyai minat yang cukup mendalam dalam dunia bola sepak.

Antara faktor utama yang menyebabkan banyak kelab berdepan masalah kewangan adalah kerana gaji pemain yang terlalu mahal.

Ya sememangnya gaji pemain bola sepak itu mahal tetapi relevankah jika nilai komersial sesebuah liga tidak seberapa tetapi gaji pemainnya seperti pemain di liga terbaik di Asia atau pun di sesetengah liga di Eropah?

Kualiti dan nilai komersial liga domestik yang tidak seberapa ini menyebabkan tidak banyak syarikat-syarikat besar mahu mengambil risiko untuk menaja kelab-kelab bola sepak di Malaysia kerana tahu mereka tidak akan mendapat pulangan pelaburan (ROI).

Realitinya biarpun bola sepak tempatan kini memperlihatkan peningkatan yang positif, namun jumlah kehadiran peminat ke stadium merosot dengan teruk sekali sekaligus ia menjejaskan pendapatan kelab menerusi jualan tiket.

Stadium hanya akan penuh sekiranya membabitkan pertembungan di antara dua pasukan gergasi atau pun perlawanan akhir piala seperti Piala FA dan Piala Malaysia.

Dengan penurunan ketara jumlah kehadiran peminat ke stadium membuatkan banyak syarikat tidak mahu terlibat dalam industri bola sepak tanah air kerana tahu ia tidak akan menjana keuntungan buat mereka.

Tambahan pula, dominasi JDT dalam tempoh sedekad membuatkan ramai semakin bosan dengan liga domestik sebaliknya lebih memilih untuk mengikuti perkembangan liga antarabangsa yang lebih menarik dan kompetitif.

Pihak pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) dan kesemua pemegang taruh perlu mencari solusi atau cara untuk meningkatkan nilai komersial liga bola sepak domestik agar ia dapat menarik minat syarikat-syarikat untuk melabur.

Fokus kini tidak hanya tertumpu kepada dalam negara sahaja, sebaliknya cuba untuk melebarkan liga ke pasaran luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Contoh terbaik ketika ini adalah liga di negara Jepun iaitu J League di mana perlawanan liga itu turut ditonton oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

Oleh itu, kita harapkan mereka yang bertanggungjawab dalam industri bola sepak tanah air ini dapat melakukan sesuatu untuk cuba memajukan bola sepak domestik ke tahap lebih tinggi lagi dan tidak hanya selesa sebagai ‘jaguh kampung’.