Peluang cerah untuk menang, namun tidak mahu terlalu selesa – Tomislav Steinbruckner
“Jika melihatkan kepada statistik kumpulan, kami mungkin boleh menang namun saya tidak mahu kami cepat selesa.”
Yakin mampu memberikan persembahan terbaik malam esok, ketua jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner tetap akui dirinya risau dengan persediaan fizikal dan juga mental kesemua anak buahnya, mengenangkan kekalahan 3 -1 pada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di final Piala Malaysia Jumaat lalu.
Jurulatih itu tidak menafikan kehebatan pasukan Bali United FC dan juga berhasrat untuk mengekalkan kecemerlangan pasukannya demi menentang pasukan yang menduduki tangga teratas itu.
“Saya memiliki para pemain yang juga berkualiti. Saya akan menyenaraikan pemain yang sudah bersedia sepenuhnya untuk esok, percaya pemain saya juga adalah yang terbaik.”
Katanya.
Beberapa pemain juga dikatakan mempunyai masalah kecederaan yang agak serius, sehingga tidak dibenarkan mengikuti sesi latihan serta memerlukan rehat yang lebih panjang.
“Antaranya adalah Azam Azmi yang mempunyai kecederaan di lutut beliau dan sudah menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur namun belum pulih sepenuhnya.”
Katanya juga bahawa setiap jurulatih ingin memberikan yang terbaik, begitu juga buat dirinya.
Baginya kesebelasan utamanya adalah diibaratkan ‘hand-pick’ oleh dirinya sendiri.
Beliau sempat berterima kasih kepada penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini.
“Saya menjanjikan persembahan yang terbaik dari Terengganu FC buat semua penyokong esok.”
Juga ditemui ketika sesi sidang media pagi itu, pemain penyerang Terengganu FC Sony Norde mengatakan kemenangan berterusan sahajalah cara untuk membalas budi para penyokong tegar pasukan itu.
“Kami telah membuat persedian habis-habisan untuk perlawanan malam esok dan kami inginkan kemenangan kerana ini adalah ‘rumah’ kami.”
Beliau turut menyeru semua penyokong Terengganu FC untuk turun hadir memenuhi stadium serta menyuntik motivasi pemain demi kemenangan pasukannya.
“Tanpa penyokong, tiadalah bola sepak.”