Romel Morales bakal jadi pemain Malaysia, sudah cukup ‘ujian’ untuk dibawa ke Qatar?

219

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan satu berita yang amat mengujakan peminat bola sepak tempatan apabila memberitahu bahawa pemain KL City FC yang berasal dari Colombia, Romel Morales akan menjadi pemain naturalisasi negara baharu.

Menurut TMJ, Morales akan mewakili Malaysia pada Piala Asia 2023 yang berbaki kira-kira sebulan lagi di Qatar dan memberi banyangan bahawa pemain itu akan meninggalkan KL City dan mungkin akan menyertai Harimau Selatan seperti khabar angin yang sedang hangat ketika ini.


TMJ mendedahkan perkara itu dalam satu komen di Instagram dan ramai peminat yang berasa teruja kerana pemain itu boleh dianggap sebagai salah seorang penyerang terhebat dalam Liga Malaysia sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Beliau juga mempunyai kemahiran dan kelebihan yang berbeza daripada penyerang-penyerang yang dimiliki oleh Harimau Malaya ketika ini, terutama dari segi fizikal, ketajaman dan teknik.

Buat masa ini, Malaysia dilihat kekurangan pemain yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama negara dengan dengan Darren Lok kini dilihat sebagai pilihan utama bagi ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.

Kadang kala, seorang lagi pemain naturalisasi, Paulo Josue turut diberi peranan untuk mengisi tugas sebagai penyerang walaupun beliau asalnya merupakan seorang pemain tengah.

Dengan adanya Morales, Pan-gon akan mempunyai lebih banyak lagi pilihan di bahagian serangan terutama sebagai penyerang tengah.

Gandingannya yang sudah sebati dengan Paulo Josue sejak beberapa musim di KL City juga mampu memberi kelebihan apabila beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Namun, dengan berbaki sebulan saja lagi, adakah masanya cukup untuk Morales menyesuaikan diri dengan gaya permainan Pan-gon dan rakan-rakan baharu dalam skuad kebangsaan?

Sekiranya benar beliau akan dibawa ke Qatar, ia akan menjadi satu pertaruhan yang amat besar, tetapi berdasarkan pengalaman yang dimilikinya bermain dalam Liga Malaysia, tidak sukar buat Morales untuk mendapat rentak.

Selain memberi pilihan yang banyak untuk jurulatih, kehadiran beliau juga boleh meningkatkan lagi persaingan di barisan hadapan, sekaligus menjadikan Harimau Malaya lebih mantap.