Permulaan baharu buat Hazwan Bakri, masih belum terlambat untuk buktikan kehebatan
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Hazwan Bakri dalam satu hantaran Instastory memberi bayangan bahawa beliau akan meninggalkan pasukan itu setelah musim ini tamat.
Beliau menyertai Harimau Selatan daripada Selangor sejak tahun 2017, di mana ketika itu namanya sedang hangat dan dianggap sebagai penyerang tempatan terbaik ketika itu.
Namun, beliau gagal mencetuskan impak yang sama di JDT dan sering memanaskan bangku simpanan dan bermain untuk JDT II.
Hazwan kini sudah berusia 32 tahun, tetapi mengikut laporan, beliau dijangka akan terus bermain dengan pasukan Liga Malaysia.
Dengan usianya kini yang sudah menuju ke penghujung kariernya, adakah sudah terlambat untuk Hazwan kembali mencipta impak dalam Liga Malaysia seperti yang pernah dilakukan beberapa tahun dahulu?
Walaupun beliau tidak beraksi dalam saingan Liga Super musim ini, namun beliau masih lagi dapat dilihat bersama skuad JDT II di Piala MFL dan membantu pasukan itu layak ke perlawanan akhir dan menjadi naib juara.
Beliau tampil dalam lima perlawanan dan berjaya menjaringkan dua gol dalam saingan Piala MFL 2023.
Sekiranya beliau mampu mengembalikan kembali keyakinan serta prestasi lamanya, Hazwan mampu mencipta impak di kelab yang mendapatkan khidmatnya.
Pasukan-pasukan yang mempunyai bajet yang rendah boleh menggunakan peluang ini untuk menyambar pemain itu berbanding membayar gaji yang lebih tinggi untuk penyerang mport.
Lagipun, penyerang import juga tidak semestinya lebih baik, buktinya ramai pemain import yang beraksi dalam Liga Super musim ini ditamatkan kontrak lebih awal dan ditukar ketika pertengahan musim.