Hampa Ilija Spacojevic melihat hilangnya Melaka United di carta liga tempatan
Sempat mengadakan kemunculan bersama pasukan Melaka United suatu ketika dahulu, kapten pasukan Bali United FC Ilija Spacojevic kecewa ketiadaan kelab itu lagi di dalam liga tempatan kini.
Beliau yang pada asalnya merupakan seorang pemain kelab Bali Devata sejak 2011, pantas menerima tawaran skuad Hang Tuah tersebut apabila kelab yang beliau wakili sewaktu itu telah diharamkan oleh pihak FIFA.
“Saya mendengar pelbagai juga isu Melaka United seperti masalah pelesenan ketika itu.”
“Sememangnya saya berasa sedih sekali kerana kami sudah melakarkan sejarah yang hebat di Melaka.”
Jawabnya kepada wartawan Harimau Malaya selepas sesi sidang media pasukan itu pagi ini.
Untuk rekod, beliau pernah beraksi bersama pasukan Melaka United pada tahun 2016 dan 2017 dan merangkul Malaysia Golden Boot 2016 untuk Malaysia Premier League 2016.
Pemain penyerang pasukan yang sudah 10 tahun fasih berbahasa Indonesia itu akui bahawa hatinya sudah tertawan dengan kelab Bali United FC, sehinggakan beliau sanggup menjadi pemain naturalisasi negara itu.
Bali United FC akan bertemu Terengganu FC di perlawanan terakhir peringkat kumpulan AFC Cup bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.
Spacojevic berkata perlawanan esok pastinya sengit namun ianya juga suatu tanggungjawab buat dirinya untuk menjaga nama baik negara Indonesia.
“Kami sepasukan perlu bekerja lebih keras demi meraih hasil positif.”
Memperhatikan fan-base Terengganu FC yang cukup besar, beliau percaya kehadiran para penyokong dapat menghangatkan lagi sorakan serta motivasi terhadap bintang-bintang bola sepak kegemaran mereka untuk beraksi dengan lebih baik.