Kelantan lahirkan ramai atlet e-Sport, GamesMY Kespoc sebagai bukti sulung

154

Wabak Covid-19 yang melanda negara kita tiga tahun dahulu seakan menjadi sebuah hikmah buat pasukan GamesMY Kespoc yang berjaya mengumpulkan ramai atlet e-Sport yang berbakat.

Kebolehan semula jadi mereka amat menyerlah sehingga pasukan dari negeri Kelantan itu kini berjaya memenangi pelbagai kejohanan sukan itu.


Pengurus pasukan GamesMY Kespoc Mohamad Qawiy ketika ditemubual merasakan kemampuan pemain muda ini tidak harus disia-siakan begitu sahaja.

Oleh itu, beliau memilih untuk mewujudkan pasukan tersebut demi menjadikan ia suatu pertandingan yang sihat buat anak muda negeri itu.

“Progress sukan e-Sport di Kelantan nampak berkembang dengan sangat baik. Semakin ramai yang ingin mendaftar dan bermain dengan kami.”

“Boleh dikatakan dalam hampir 50 peratus pemain berasal dari Kelantan.”

Katanya.

Beliau tidak menafikan Kelantan telah banyak melahirkan atlet e-Sport yang hebat sejak beberapa tahun lalu dan berjaya mencipta nama di kejohanan seperti Sukma, Hari Sukan Negara dan Esports State Tournament League (ESTL) baru-baru ini.

Qawiy berkata pasukannya amat teruja dalam mewakili ESTL yang berlangsung beberapa minggu lalu, melihatkan ramai atlet sukan itu dari seluruh negeri dikumpulkan dalam satu kejohanan.

Kapten pasukan GamesMY Kespoc Hakimi Ramzi berkata minatnya dalam sukan itu lahir sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suatu ketika dahulu.

“Saya mempunyai banyak masa lapang ketika itu. Melihat rakan saya bermain, saya turut serta dan mengambil masa untuk belajar tekniknya sehingga memasuki pasukan ini.”

Nasib beliau juga ternyata amat baik dalam sukan e-Sport ini memandangkan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan berakhir dengan manis sekali.

Baginya pemain e-Sport dari Filipina dan Indonesia adalah antara yang terbaik untuk dijadikan contoh atas sebab kemahiran taktikal pemain yang lebih cekap dan berdisiplin.

Hakimi merasakan ESTL berkesan dalam mengeratkan hubungan silaturahim para atlet didalam negeri yang sama bersama negeri yang lain.