Walaupun sudah layak Sabah FC mahu teruskan momentum kemenangan – Ong Kim Swee

171

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberitahu beliau akan menurunkan barisan terbaiknya pada perlawanan terakhir kumpulan Piala AFC menentang PSM Makassar esok walaupun sudah berjaya layak ke separuh akhir zon.

Menurut Kim Swee, beliau tidak mahu ambil mudah kerana mahu teruskan momentum kemenangan pasukan.


“Walaupun kita sudah layak tapi kita ingin kekalkan momentum dan penting untuk sesiapun yang diturunkan saya percaya mereka mampu menjalankan tugas di mana ia penting untuk kita mengekalkan prestasi kita.

Seterusnya untuk pastikan kita tidak kehilangan mata,”

katanya.

Sabah kini berada di puncak Kumpulan H selepas lima perlawanan dengan mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan satu kekalahan.

Biarpun pun skuad The Rhinos dikatakan pasukan pilihan dan tiada masalah untuk layak ke peringkat seterusnya, pengendali berusia 53 tahun itu menafikan mereka adalah pasukan pilihan kerana pasukan lain yang berada dalam kumpulan turut merupakan pasukan bagus.

“Saya tak boleh mengatakan yang kita adalah pasukan pilihan sebelum bermulanya peringkat kumpulan.

Kita tahu Haiphong, PSM Makassar dan Hougang United juga merupakan pasukan yang baik, namun dengan tahap disiplin dan prestasi yang semakin meningkat terutamanya di penghujung musim membolehkan kita layak terlebih dahulu dan ini memberi impak yang cukup positif.”

Dalam pada itu, Sabah akan meneruskan kempen Piala AFC mereka untuk perlawanan separuh akhir zon yang akan berlangsung pada Februari 2024.

Susulan itu, Kim Swee mahu pastikan pasukan akan tetap melakukan persiapan selepas musim 2023 berakhir.

“Yang penting kita harus lebih bersiap sedia dan kita harus memastikan perancangan latihan kita selepas berakhirnya musim ini mungkin akan melibatkan pre season dan off season kerana kita tahu dengan pasukan mana akan kita bertemu.”

Beliau turut berkata sekiranya musim hadapan tiada perubahan besar-besaran dalam pasukan untuk musim depan, ia akan membantu dari segi persiapan pasukan.

“Kalau kita menukar pemain secara beramai-ramai sudah tentu ia akan menyukarkan kita, tapi kalau kita mengekalkan pasukan terbaik kita tentu akan membantu dari segi pasukan.

Dalam setiap pasukan ia menjadi lumrah di awal musim sudah tentu kita akan ada pemain baru dan ada pemain yang akan keluar, jadi kita perlu teliti dengan lebih terperinci dimana siapa pengganti di mana saya tidak ingin tukar pemain beramai-ramai.”

Sementara itu, tonggak utama Park Tae-su berkata beliau dan rakan sepasukan akan meneruskan permainan seperti biasa untuk pastikan mereka mampu mengutip tiga mata penuh.

“Persiapan pasukan kami berjalan dengan baik dan akan buat terbaik untuk memenangi perlawanan pada malam esok.”

Selain saingan Piala AFC, beliau turut mahu pastikan mereka memperolehi kemenangan pada perlawanan terakhir Liga Super bagi memastikan mereka dapat menamatkan saingan liga di tempat ketiga.