Pemain bukan robot atau mesin, saya harap esok kita akan dapat keputusan positif – Bernardo Tavares
Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares menegaskan bahawa pemain-pemainnya akan memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan terakhir kumpulan Piala AFC menentang Sabah FC esok di Stadium Likas.
Menurut Tavares, pasukannya yang baru sahaja bermain dalam perlawanan Liga 1 Indonesia tiga hari lalu terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Kota Kinabalu, Sabah tidak mempunyai tempoh rehat dan pulih yang cukup namun tidak mahu menjadikannya sebagai alasan.
“Pada perlawanan liga baru-baru ini kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tapi dalam bola sepak kita ada lagi peluang dan esok adalah satu lagi peluang untuk kami pamerkan kemampuan pasukan menentang pasukan kuat seperti Sabah.
Dengan tempoh perjalanan seharian, pemain bukan robot atau mesin tapi saya percaya esok dengan pemain sudah dapat sedikit rehat kita akan mendapat keputusan positif untuk sekurang-kurangnya bawa pulang mata biarpun sedar sukar tapi kami akan tetap mencuba,”
katanya.
Dengan kesulitan yang dihadapi oleh pasukan mereka, beliau mahu cuba mendapatkan keputusan yang lebih baik selepas mereka tewas 5-0 pada perlawanan pertama di tempat sendiri.
Beliau bagaimanapun berkata mereka perlu bersikap lebih realistik kerana ketika ini bola sepak Malaysia lebih baik berbanding bola sepak Indonesia.
“Kita perlu realistik Malaysia berada pada tahap terbaik berbanding Indonesia ketika ini tetapi tahun lalu pada saingan Piala AFC, PSM Makassar berjaya tewaskan pasukan daripada Malaysia, jadi tidak mustahil untuk kami dapat keputusan positif cuma sukar saja.”
Dalam pada itu, PSM Makassar sudah pun tersingkir dari saingan Piala AFC apabila hanya mengutip tujuh mata daripada lima perlawanan.
Biarpun berkongsi mata dengan Haiphong FC, namun kelab dari Vietnam itu dijangka tiada masalah untuk mengutip tiga mata penuh apabila mereka dijadual menentang Hougang United yang berada di kedudukan tercorot kumpulan.
Sementara itu, tonggak utama Rasyid Bakri pula berkata beliau dan rakan sepasukan akan turun beraksi esok tanpa tekanan dan akan cuba memberikan cabaran kepada pasukan lawan untuk dapatkan keputusan positif.
“Tiada tekanan untuk kami esok kerana misi kami pada perlawanan esok adalah untuk cuba berikan yang terbaik buat pasukan kami.”