Bernardo Tavares tidak tolak kemungkinan ke Malaysia jika ada tawaran

236

Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares tidak tolak kemungkinan berhijrah ke Malaysia sekiranya mendapat tawaran daripada kelab di Liga Super.

Tavares bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana beliau masih mempunyai kontrak bersama kelab yang beraksi di Liga 1 Indonesia itu sehingga Jun 2026.


“Ketika ini saya masih mempunyai kontrak bersama PSM Makassar. Ya pasukan kini berdepan masalah kewangan tapi saya tidak boleh mengulas lanjut.

Apa yang saya tahu kelab Malaysia mempunyai bajet yang besar, jadi ada kemungkinan tapi buat masa ini saya mahu fokus pada perlawanan esok menentang Sabah FC,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Esok PSM Makassar akan turun beraksi dalam perlawanan terakhir kumpulan dalam saingan Piala AFC di Stadium Likas dengan misi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Dalam pada itu, pengendali berasal dari Portugal itu turut mendedahkan bahawa pasukannya terpaksa terbang dalam lima penerbangan berasingan ke Sabah dek masalah kewangan yang dihadapi oleh pasukan.

“Malangnya musim ini kami berdepan masalah kewangan dan perkara seperti ini berlaku apabila kita tidak membuat tempahan tiket penerbangan awal yang mana kami terpaksa terbang dalam lima penerbangan berbeza.

Ini adalah kali kedua kami berdepan situasi sama selepas kali pertama berlaku ketika kami terbang ke Vietnam untuk perlawanan menentang Haiphong FC.”

Sementara itu, Tavares tidak berasa kecewa langsung dengan prestasi pasukannya yang kini berada di kedudukan ke-10 Liga 1 Indonesia biarpun memegang status sebagai juara bertahan.

“Sejujurnya saya tidak kecewa dengan prestasi pasukan ketika ini. Ya sebagai jurulatih sudah pasti kita mahu keputusan positif tapi apabila kita kehilangan ramai pemain utama dan perancangan tidak berjalan seperti yang dirancang kerana masalah kewangan jadi kami terpaksa menanggung akibatnya.”

Pada musim lalu, sentuhan magis Tavares telah menyaksikan PSM Makassar yang dibarisi oleh ramai pemain muda mengejutkan ramai apabila berjaya menjulang kejuaraan Liga 1 Indonesia.