Perlawanan antara kelab Indonesia dan Malaysia umpama ‘El Clasico’ ASEAN! Kami akan cuba dapatkan tiga mata esok

176

Ketua pasukan PSM Makassar, Muhammad Arfan mengakui pertembungan melibatkan kelab bola sepak Indonesia dan Malaysia umpama perlawanan ‘El Clasico’ di rantau Asia Tenggara.

Arfan berkata demikian apabila pasukannya bakal menentang gergasi dari Malaysia iaitu Sabah FC dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFC esok di Stadium Likas.


“Kita sering lihat kalau pasukan dari Indonesia dan Malaysia bertemu ia adalah perlawanan besar seperti ‘El Clasico’ ASEAN.

Harapan kami untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFC ini adalah cuba menamatkan kempen dengan keputusan yang positif,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, biarpun pun peluang mereka dalam kempen kali ini sudah tertutup rapat tapi beliau dan rakan sepasukan tetap bersemangat untuk memberikan aksi terbaik mereka di tempat lawan.

Dalam pada itu, Arfan juga tidak mahu menjadikan tempoh rehat tidak cukup sebagai alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik.

“Kalau dari segi perjalanan ke sini memang penat tapi itu bukan alasan untuk perlawanan esok sebaliknya kami akan bermain seperti yang dirancang oleh ketua jurulatih.”

Sementara itu, penjaring terbanyak pasukan dalam saingan Liga 1 Indonesia, Kenzo Nambu pula yakin dengan kemampuan pasukannya dan akan cuba bawa pulang tiga mata esok.

“Sejujurnya memang kami sedikit keletihan dari perjalanan jauh tapi saya tidak mahu jadikan perkara itu sebagai alasan tapi kami buat yang terbaik untuk cuba dapatkan tiga mata penuh esok.”

Kenzo juga tidak berasa tertekan apabila tidak berjaya menjaringkan gol dalam kempen Piala AFC kali ini kerana apa yang penting baginya adalah kejayaan berpasukan dan bukannya untuk diri sendiri.

“Saya tak peduli dengna jaringan saya kerana saya sentiasa fikirkan tentang pasukan saya. Jika saya dapat jaringkan gol saya gembira tapi apa yang penting kita mahu dapatkan tiga mata.”