Tomislav Steinbruckner mahu kekal fokus, rangka pelan jangka masa panjang majukan Terengganu FC
Ingin terus fokus dan maju ke hadapan, itu konklusi yang dapat kita lihat dari ketua jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner sejurus tamat perlawanan akhir peringkat kumpulan G menentang Bali United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam semalam.
Kemenangan 2-0 yang dicipta skuad Penyu itu hanya diibaratkan sebagai pelengkap perlawanan peringkat tersebut atas sebab mata kedudukan pasukan pihak lawan yang kukuh di tangga teratas.
Meskipun ianya tidak dapat mengubah kedudukan mereka, namun jurulatih yang berasal dari Croatia itu lebih memilih untuk kekal optimis serta sudah mula merangka pelan jangka masa panjang buat pasukannya.
“Walaupun hanya dua jumlah gol yang kami mampu lakukan, namun saya tetap berbangga dengan peluang ‘attempt’ yang banyak dan penguasaan bola yang tinggi lebih-lebih lagi di separuh masa pertama.”
“Saya tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan kesemua pemain. Tahniah buat mereka semua.”
Katanya ketika sesi sidang media selepas perlawanan.
Melihatkan jumlah kehadiran penonton yang kurang ramai, beliau turut menyatakan bahawa sokongan para penyokong ke stadium sememangnya mampu menyuntik semangat buat pemain.
Steinbruckner sempat mengakui bahawa pelantikan pemain penyerang Sony Norde sebagai kapten pasukan kali ini adalah pilihan beliau sendiri.
“Ianya sememangnya benar. Memang saya berikan jawatan kapten kepada Sony Norde selepas insiden pertukaran Habib Haroon di final.”
“Isu bersama Habib yang berlaku sewaktu perlawanan final Piala Malaysia itu telahpun dibincang dengan baik.”
Jurulatih itu mengatakan ia pastinya seronok untuk menutup akhir musim dengan kemenangan, yang juga di tempat sendiri.
“Saya akan sentiasa meletakkan target yang lebih tinggi dan cuba untuk terus improve lagi pasukan ini, seperti menyambung contract beberapa pemain tempatan hari ini. Perlu terus lihat ke masa hadapan.”
Hari ini Terengganu telah mengumumkan pengekalan kontrak bakat muda mereka iaitu Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Syahmi Zamri sehingga 2026.