Mahu pemain Bali United FC baiki kelemahan, siapkan diri di liga 1 Indonesia yang lebih sengit – Stefano Cugurra
“Ini adalah persembahan terburuk Bali United!”
Tegas kata-kata ketua jurulatih Bali United FC Stefano Cugurra selepas perlawanan akhir peringkat kumpulan G menentang Terengganu FC setelah mengakui penguasaan bola yang dipelopori pasukan itu sepanjang perlawanan berlangsung.
Mengganggap ianya boleh dikategorikan sebagai faktor ‘tuan rumah’, jurulatih itu tetap optimis mahu kesebelasan utama yang beliau senaraikan malam itu untuk terus mempelajari serta memperbaiki kelemahan skuad.
Katanya beliau mahu sentiasa memberikan ruang dan peluang untuk para pemainnya untuk memahami strategi pemain Terengganu FC.
“Perlawanan pada malam ini amat penting buat pembangunan pemain kami terutamanya kerana ianya sebuah perlawanan antrabangsa.”
“Ianya demi mempersiapkan mereka untuk perlawanan didalam liga Indonesia tidak lama lagi.”
Katanya ketika sesi sidang media selepas perlawanan.
Bali United FC dijangka akan bertemu pasukan Persib Bandung pada Isnin, 18 Disember, yang pastinya akan menjadi perlawanan sengit melihatkan hanya satu jarak jumlah mata yang terkumpul.
Memperhatikan persembahan anak buahnya malam itu, Cugurra tidak menafikan tekanan yang diberikan skuad Penyu dalam mengawal bola majoriti waktu perlawanan.
“Saya percaya di awal separuh masa kedua, Bali United FC sudah menemui momentum perlawanan namun tetap kecundang ke atas Terengganu FC atas pemainnya yang hebat-hebat.”
Beliau juga sempat berkata bahawa dirinya tidak akan menolak pelawaan mana-mana kelab dari Malaysia yang menginginkan perkhidmatan beliau sebagai seorang jurulatih suatu masa akan datang.