Singapura tagih khidmat Kim Hak-bum

535

Selepas dikaitkan dengan skuad kebangsaan Malaysia, bekas ketua jurulatih B-23 Korea Selatan, Kim Hak-bum kini dilaporkan menjadi calon untuk menjadi ketua jurulatih baru Singapura.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) kini sedang mencari ketua jurulatih baru bagi menggantikan Tatsuma Yoshida yang meletak jawatan selepas kegagalan Singapura di saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.


Menurut laporan dari Football Asian, Singapura dikatakan berminat untuk mengambil pengendali dari Korea Selatan selepas menyaksikan kehebatan pengendali Indonesia Shin Tae-yong yang berjaya membawa pasukannya ke final Piala AFF 2020.

Hak-bum merupakan pilihan utama berikutan beliau mempunyai rekod cemerlang antaranya pernah membawa pasukan B-23 Korea Selatan menang pingat emas pada Sukan Asia 2018 dan muncul juara di Kejuaraan AFC B-23 2020.

Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih terbaik di Korea yang pernah memenangi K League dan KFA Cup.

Selain Hak-bum, Singapura juga dikatakan mengintai beberapa nama lagi antaranya Luis Milla yang pernah mengendali skuad kebangsaan Sepanyol B-23 dan Indonesia B-23 serta Stephen Constantine, bekas pengendali Milwall, skuad kebangsaan Nepal, Rwanda dan India.

Bagaimanapun satu sumber memaklumkan Singapura lebih berminat untuk mendapatkan khidmat Hak-bum.