Arif Aiman jadi tumpuan FIFA, bawa nama Malaysia dan JDT ke pentas dunia

773

Susulan persembahan menakjubkan yang ditunjukkan ketika menyarung jersi Harimau Malaya ketika dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini, nama Arif Aiman sekali lagi mendapat perhatian dunia, kali ini oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu disebut-sebut sebagai antara lima pemain yang perlu diberi perhatian pada Piala Asia akan datang, sebaris dengan pemain-pemain lain yang beraksi di Eropah.


Selain daripada Arif, pemain sayap Jepun iaitu Junya Ito yang beraksi dengan Stade de Reims, penyerang Korea Selatan iaitu Cho Gue-sung yang beraksi bersama FC Midtjylland, pertahanan Australia iaitu Harry Souttar yang bermain untuk Leicester City serta pemain sayap UAE iaitu Harib Abdalla yang beraksi bersama Shabab Al-Ahli.

Perhatian yang diberioleh pihak FIFA ini jelas merupakan satu bentuk penghargaan yang besar buat bakat tempatan seperti Arif Aiman dan meletakkan namanya semakin dikenali.

Ia juga secara tidak langsung membuatkan dunia bola sepak mula peka dengan pasukan Harimau Malaya.

Arif pasti akan diberikan tumpuan yang lebih oleh pihak lawan pada Piala Asia akan datang yang sudah tahu akan ancaman yang mampu diberikan olehnya.

Selain itu, Malaysia juga kini semakin menjadi tumpuan selepas prestasi membanggakan di bawah bimbingan Kim Pan-gon.

Ia membuatkan gergasi Asia, Arab Saudi membatalkan aksi persahabatan pada Januari depan, kerana menganggap kedua-dua pasukan berpotensi untuk berjumpa pada peringkat 16 terakhir.

Di saat lebih banyak pihak kini yang semakin memperakui peningkatan yang dilakukan oleh skuad kebangsaan, ia juga akan menjadi cabaran yang besar untuk terus mengekalkan konsistensi.

Pasukan-pasukan lain, terutama yang diundi dalam kumpulan yang sama dalam Piala Asia akan datang iaitu Korea Selatan, Bahrain dan Jordan pastinya akan bermain dengan lebih baik apabila berdepan Malaysia.