Kami berjaya buat seperti Sabah FC buat pada kami di perlawanan pertama – Bernardo Tavares

153

Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares cukup gembira apabila pasukannya berjaya menamatkan saingan Piala AFC dengan kemenangan apabila mereka berjaya menewaskan pendahulu kumpulan Sabah FC 3-1 di Stadium Likas pada malam tadi.

Menurut Tavares, mereka turun dengan misi untuk menamatkan saingan dengan cemerlang dan berjaya melakukannya.


“Saya sangat gembira dengan keputusan, saya rasa kita berjaya cipta beberapa peluang yang boleh menghasilkan gol dan sangat penting untuk kita jaringkan gol terlebih dahulu.

Kami berjaya buat seperti Sabah buat pada kami di perlawanan pertama yang mana mereka berjaya jaringkan gol sangat awal.

Tapi malam ini kami mendapat beberapa peluang terbaik di separuh masa pertama walaupun hantaran akhir sedikit mengecewakan, tetapi secara keseluruhan kami sangat gembira,”

katanya.

Beliau turut gembira dengan aksi pemain-pemain muda yang mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila turun beraksi bagi menggantikan tonggak utama yang mengalami kecederaan.

Pada masa sama beliau berasa cukup bangga apabila mereka berjaya menang dengan pasukan lebih kuat dan mempunyai bajet besar.

“Saya sangat bangga yang kami dapat menang dengan pasukan kuat yang mempunyai bajet besar dan saya harap ia akan jadi motivasi kepada penyokong. Sekarang kita sudah tersingkir dari Piala AFC, mereka boleh terus menyokong kami dalam saingan Liga 1 Indonesia kerana pemain saya perlukan sokongan daripada penyokong.”

Tavares pada masa sama turut mengucapkan tahniah kepada Sabah atas kejayaan mara ke separuh akhir zon.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan musim ini pasukannya bergelut dengan pelbagai masalah seperti kehilangan ramai tonggak utama dan kewangan.

“Pada musim lalu kita berjaya kejutkan ramai apabila berjaya menjuarai Liga 1 Indonesia dan musim ini kami kehilangan ramai pemain utama selain bergelut dengan pelbagai masalah lain.”

Beliau pada masa sama turut menghadiahkan kemenangan pada malam tadi kepada penyokong yang sentiasa turun menyokong walaupun di mana sahaja mereka beraksi.