Velocity Academy kebanggaan negara di pentas Asia, juarai Bangkok International Super Cup 2023
Kelab bola sepak akar umbi, Velocity Academy berjaya mengharumkan nama negara apabila menjuarai kejohanan Bangkok International Super Cup 2023 yang diadakan pada 2 dan 3 Disember lalu.
Pasukan itu yang bertanding dalam kategori B-9 berjaya menjadi juara selepas mengenepikan cabaran pasukan-pasukan lain seperti Taiwan, Hong Kong, Filipina, Thailand dan penyandang juara, Laos.
“Memenangi perlawanan akhir menewaskan Laos yang merupakan juara tahun lalu adalah satu kejayaan buat para pemain yang telah berusah keras ketika sesi latihan.
Persiapan mengambil masa hampir tiga bulan dengan sesi latihan yang konsisten, dan seramai 12 pelatih B-9 telah dipilih untuk turut serta dalam kejohanan tersebut,”
kata wakil kelab itu kepada Harimau Malaya.
Kejohanan Bangkok International Super Cup 2023 merupakan salah satu kejohanan bola sepak akar umbi antarabangsa yang terbesar di Asia.
Tambahnya, pihak akademi percaya bahawa kejohanan antarabangsa seperti ini akan memberi pendedahan yang bermanfaat serta pengalaman yang amat berguna buat para pelatih.
“Menang dan kalah itu adalah sebahagian daripada perlawanan.
Tetapi memiliki mentaliti kemenangan dan memberikan yang terbaik di atas padang adalah sesuatu yang amat penting buat kami.”