Perlawanan terakhir Liga Super sepatutnya berjalan serentak

110

Selepas tamat empat perlawanan Liga Super semalam, ia menandakan berakhirnya saingan musim ini dengan kedudukan semua 14 pasukan akhirnya terjawab.

Pelbagai suka dan duka, rekod, sejarah serta drama berjaya dirakamkan pada musim ini, syabas kepada pihak penganjur, Malaysian Football League (MFL) yang berjaya melangsungkan saingan liga hingga ke penghujung walaupun berdepan banyak cabaran dan dugaan.


Namun agak janggal apabila melihat perlawanan akhir liga tidak diadakan secara serentak seperti kebanyakan liga di seluruh dunia.

Ini berbeza dengan musim lalu apabila semua perlawanan terakhir Liga Super dilangsungkan serentak pada hari Sabtu, 15 Oktober 2022 pukul 9 malam.

Dalam dunia bola sepak, perkara seperti ini boleh dianggap sebagai ‘asas’ dalam penyusunan jadual, disebabkan itu boleh dilihat liga-liga ternama seluruh dunia akan melangsungkan perlawanan terakhir serentak.

Bukan itu saja, kejohanan besar seperti Piala Dunia juga melangsungkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan serentak bagi mengelakkan salah laku seperti rasuah.

Walaupun juara liga sudah diketahui, kedudukan akhir pasukan-pasukan lain banyak lagi yang masih belum muktamad, dan perkara seperti ini boleh membukan ruang kepada kelakuan rasuah dan ‘menjual perlawanan’ oleh pemain.

Ini kerana, ganjaran yang diterima setiap pasukan adalah berbeza walaupun hanya berbeza satu kedudukan, justeru tidak mustahil perkara seperti itu boleh berlaku.

Sebagai penganjur liga, MFL harus peka akan perkara ini dan belajar daripada saingan liga-liga utama di seluruh dunia.

Sudah tentu kita tidak mahu saingan Liga Malaysia dicemari dengan insiden rasuah yang boleh merosakkan lagi bola sepak negara.

Musim hadapan, diharapkan perkara kecil seperti ini dapat diberi perhatian kerana ia boleh membawa impak yang besar kepada bola sepak negara.