Percaya pada penilaian KPG, beri sokongan penuh kepada semua pemain yang terpilih!
Barisan awal pemain yang akan menyertai kem latihan menjelang Piala Asia 2023 di Qatar bulan depan telah pun dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan seramai 26 pemain telah dipanggil bermula 26 Disember ini.
Seperti biasa, pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah yang paling banyak dipanggil dengan 13 pemain, diikuti empat pemain dari Sabah, tiga dari Selangor, tiga dari KL City, dan masing-masing seorang dari Negeri Sembilan, Buriram United dan Dewa United.
Seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 telah dikekalkan, manakala Romel Morales akhirnya secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain naturalisasi.
Selain itu, terdapat 19 pemain yang diletakkan dalam senarai bersedia jika terdapat perubahan.
Para peminat bola sepak tempatan mempunyai reaksi berbeza terhadap barisan pemain yang dipanggil tersebut dengan beberapa nama dipersoalkan.
Antaranya adalah Mohamadou Sumareh, Syahmi Safari, Natxo Insa dan juga Dominic Tan yang dianggap tidak layak untuk dibawa ke Qatar.
Bagaimanapun, kesemua pemain itu adalah pilihan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan beliau pastinya tahu apa yang diperlukan olehnya untuk menghadapi kejohanan itu.
Ini bukan pertama kali perkara seperti ini berlaku kerana boleh dikatakan setiap kali panggilan untuk kem latihan diumumkan, terdapat suara-suara sumbang yang mempertikaikan pemain-pemain yang dipanggil.
Namun, sudah beberapa kali juga Pan-gon membuktikan bahawa pilihannya tepat, contohnya Junior Eldstal yang satu ketika dahulu dipersoalkan namun kini dilihat sebagai salah satu aset penting buat Harimau Malaya.
Justeru, para peminat harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Pan-gon dan memberi sokongan penuh kepada barisan pemain yang mewakili negara pada kejohanan itu.
Piala Asia 2023 nanti merupakan ujian terbesar buat Pan-gon sepanjang membimbing Malaysia, dan sudah tentu beliau sudah mempunyai perancangan yang rapi sebelum membuat sebarang Keputusan.
Tiada jurulatih yang gila mahu menyenaraikan barisan yang lemah untuk ke kejohanan yang penting seperti itu, dan barisan pemain ini adalah yang terkuat menurut penilaian Pan-gon.