Piala Asia 2023 guna sistem Semi-Automated Offside Technology, catat sejarah baharu dunia bola sepak

151

Kejohanan Piala Asia 2023 akan mencatat sejarah tersendiri apabila secara rasminya akan menggunakan Semi-Automated Offside Technology (SAOT) dalam kesemua perlawanan di kejohanan itu.

Teknologi itu akan digunakan seiring dengan teknologi Video Assistant Referee (VAR), yang kali ini akan digunakan sepanjang kejohanan, selepas sekadar diguna pakai bermula peringkat suku akhir pada edisi lalu.


Penggunaan SAOT ini adalah salah satu usaha Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi meningkatkan lagi ketepatan dan tahap integriti pegawai perlawanan dalam kejohanan itu.

Sistem SAOT itu telah menjalani tempoh percubaan yang meluas, dan telah melepasi garis panduan yang ditetapkan oleh FIFA, serta telah diluluskan oleh International Football Association Board (IFAB) untuk digunakan ketika kejohanan itu.

Penggunaan SAOT dilihat sebagai satu anjakan pradigma buat AFC dan bola sepak Asia sendiri, dan mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kejohanan bola sepak benua pertama yang mengguna pakai teknologi tersebut.

Ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi tahap bola sepak Asia dan memastikan benua ini tidak ketinggalan dari segi penggunaan teknologi berbanding benua-benua lain.

Selain dapat memastikan kualiti pengadil daripada Asia terus meningkat, ini juga penting buat para pemain bagi merasai sendiri bagaimana teknologi itu dapat mempengaruhi permainan mereka, kerana satu hari nanti, ia dijangka akan menjadi standard dalam bola sepak antarabangsa.