Sekarang memang dengan KV Kortrijk tapi Januari nanti Insya Allah ada perubahan – Luqman Hakim Shamsuddin
Penyerang skuad B-23 negara, Luqman Hakim Shamsuddin memberi bayangan bahawa beliau akan berpindah secara pinjaman daripada KV Kortrijk untuk menyertai pasukan lain pada bulan depan.
Katanya, beliau bagaimanapun masih belum membuat keputusan konkrit lagi dan sedang memikirkan perkara itu.
“Setakat ini memang saya bersama KV Kortrijk tetapi dalam bukan Januari nanti Insya Allah mungkin ada perubahan.
Saya tengah fikirkan lagi sebelum buat keputusan, tetapi saya masih ada semusim lagi kontrak bersama KV Kortrijk, jadi jika saya berpindah pun ia sebagai pemain pinjaman,”
katanya.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan beliau akan kembali ke Malaysia, Luqman enggan memberikan jawapan.
Sementara itu, beliau mengakui lebih tenang dengan keadaan sekarang apabila tumpuan terhadap dirinya tidak begitu banyak.
“Memang diakui saya lebih suka seperti ini, lebih rileks tiada tumpuan sangat.
Sebelum ini memang agak tertekan tetapi itu semua lumrah bola sepak, cuma keadaan sekarang lebih tenang untuk saya.”
Mengenai skuad B-23 negara ketika ini, Luqman menganggap bahawa pasukan ini lebih kuat dengan kehadiran pemain-pemain yang beraksi di luar negara seperti Richard Chin dan Kobe Jae Chong.
Beliau merasakan bahawa kehadiran mereka memberi kelebihan buat skuad B-23 negara menjelang Piala Asia B-23 April nanti.