Setiap jurulatih ada falsafah sendiri, tapi skuad B-23 memang ikut taktikal pasukan senior – Aiman Afif
Pemain skuad B-23 kebangsaan, Aiman Afif mengakui terdapat perbezaan dari segi falsafah antara ketua jurulatih sekarang, Juan Torres Garrido dan yang sebelum ini, E Elavarasan.
Bagaimanapun katanya, gaya permainan yang diterapkan adalah sama iaitu mengikut apa yang dipraktikkan oleh pasukan senior.
“Setiap jurulatih ada falsafah mereka tersendiri tetapi di sini kita memang ikut taktikal sama dengan skuad senior.
Jadi dari segi taktikal saya boleh katakan sama saja kerana kita harus ikut pasukan senior,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di KLIA sebelum berangkat ke Shanghai, China bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 menentang China B-23.
Katanya, perlawanan menentang China itu adalah persedian yang baik buat mereka menjelang Piala Asia B-23 yang akan membuka tirai April tahun depan.
“Perlawanan di China nanti adalah satu pendedahan yang baik buat kami, dalam masa yang sama kami akan usaha untuk dapatkan keputusan yang baik dalam perlawanan itu.
Setakat ini persediaan berada dalam keadaan yang baik dan semua pemain bersemangat dalam sesi latihan.”