‘Trio’ Selangor jadi taruhan KPG menentang ‘member lama’ Jordan?
Bagaikan suatu reunion kecil di Piala Asia bulan hadapan sewaktu hari perlawanan skuad Harimau Malaysia menentang Jordan – 16 Januari.
Khususnya buat tiga bintang The Red Giants iaitu Faisal Halim (Mickey), Brendan Gan dan Ahmad Khuzaimi Piee (Jimmy) yang bakal bertemu teman seperjuangan mereka, Noor Al-Rawabdeh dan juga bekas pemain sensasi pasukan itu, Yazan Al-Arab.
Insiden Yazan menendang belakang badan pengadil, Mohd Hasrol Amir masih dikenang para penyokong tegar kelab itu sehingga ke hari ini.
Ianya berlaku ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023, Selangor FC melawan Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada September lalu.
Susulan tindakan drastik itu, pemain berusia 27 tahun itu telah digantung seumur hidup oleh pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia.
Yazan kemudiannya ke telah berjaya mengembangkan sayap beliau ke Iraq Star League, bersama pasukan Al-Shorta SC.
Untuk rekod, beliau sempat menjaringkan empat gol dan satu bantuan gol selama 3,913 minit perlawanan sepanjang karier bola sepaknya bersama Selangor FC dan hanya satu gol, tanpa sebarang bantuan gol bersama Jordan.
Ternyata beliau beraksi dengan lebih cemerlang disamping kelab ‘King of Malaya’.
Sementara pemain tengah, Noor pula berjaya menyumbang lima gol dan tiga bantuan gol didalam 1,991 jumlah minit perlawanan di Selangor FC tahun ini dan turut hanya menghadiahkan gol tunggal dan juga satu gol bantuan gol buat pasukan kebangsaannya.
Selain ingin melihat kemenangan pasukan kebangsaan, perlawanan menentang Jordan itu nanti pastinya amat dinanti-nantikan Ekor Harimau Malaya dan juga penyokong Selangor FC yang ingin melihat persembahan yang ditampilkan bintang-bintang kegemaran mereka.
Andainya ada pemain Kedah yang tersenarai didalam skuad kebangsaan kali ini, pasti ianya juga akan menarik perhatian ramai dalam melihat berlaku pertemuan sebegitu dengan bekas pemain sayap, Mahmoud Al-Mardi.
Namun, dalam pada keterujaan menemui kembali pemain Selangor FC di Qatar, pasukan Malaysia tetap harus berjaga-jaga dengan salah seorang pemain harapan skuad Jordan iaitu Musa Al-Taamari.
Beliau kini beraksi di Ligue 1, bersama pasukan Montpellier dari Perancis.
Menandatangani kontrak dengan pasukan itu sejak lima bulan yang lalu, pemain sayap kanan itu sudah berjaya merembat tiga gol dan tiga bantuan gol dari 16 perlawanan setakat ini.
Sebelum itu, beliau sempat menyarung jersi Oud-Heverlee (OH) Leuven di Belgium dan menyumbang sebanyak 10 gol serta sembilan bantuan gol selama 6,487 minit perlawanan.