Bukan senang untuk saya dan Tang Jie, kita kena cari jalan untuk kekal konsisten – Toh Ee Wei

187

Pemain badminton beregu campuran negara, Toh Ee Wei menghargai gandingan yang dibina bersama Chen Tang Jie sejak setahun lalu walaupun tidak mudah bagi kedua-dua mereka pada peringkat awal.

Katanya, beliau bangga dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang tahun ini walaupun baru setahun digandingkan.


“Bukan senang untuk Tang Jie dan juga saya untuk bergandingan, apabila kami mula bersama terus bersaing untuk mata Olimpik, saya gembira kami di landasan yang betul.

Untuk tahun ini prestasi kami ada turun naik, jadi harus cari cara macam mana untuk kekal konsisten, jika kita lihat pemain-pemain top 10 semuanya konsisten tetapi kami ada masa tidak, apa-apa pun kami baru setahun digandingkan jadi ia akan mengambil masa,”

katanya.

Untuk tahun 2024, beliau tidak mahu memikirkan lagi tentang sasaran sepanjang tahun tetapi mahu mengambil langkah satu persatu.

Buat masa ini, beliau menumpukan sepenuh perhatian terlebih dahulu kepada kejohanan Malaysia Open yang akan bermula 9 Januari depan.

Katanya, perlawanan pertama menentang pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue bukanlah mudah memandangkan rekod pertemuan adalah satu kemenangan dan satu kekalahan.

“Lawan kita nanti bukanlah mudah kerana kalau ikutkan rekod pertemuan adalah 1-1, saya pun tak fikir banyak cuma mahu lakukan yang terbaik.

Semua peserta ada peluang jadi saya tidak mahu letakkan tekanan dan fokus sahaja setiap perlawanan.”

Katanya, untuk Malaysia Open nanti, beliau dan Tang Jie dapat melakukan persiapan lebih lama daripada sebelum ini kerana sibuk dengan kejohanan demi kejohanan.