‘Penyelamat’ padang SNBJ! Terima kasih Siti Nurhaliza dari penyokong Harimau Malaya!

298

Terima kasih Datuk Seri Siti Nurhaliza!

Pilihan terbaik bagi lokasi konsert terbaharu beliau ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ yang bertempat di Stadium Axiata Arena, berbanding memilih Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).


Konsert itu akan diadakan pada 9 Mac 2024, jatuh tepat 17 hari sebelum perlawanan Kelayakan Piala Dunia diantara Malaysia menentang Oman pada 26 Mac di SNBJ.

Secara tidak langsung, pilihan tersebut telah mengelakkan dari risiko kerosakan padang sewaktu hari perlawanan selepas tamatnya sesebuah konsert.

Contoh dapat dilihat dari impak besar yang berlaku selepas berakhirnya konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu, yang juga berbaki 17 hari sebelum final Piala Malaysia.

Setelah berbagai spekulasi tentang keadaan padang itu sepanjang tempoh dua minggu itu, perlawanan besar-besaran yang menyaksikan penentangan antara kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC itu telah menjadi bukti kukuh betapa ‘parahnya’ kondisi padang sehingga disamakan dengan ‘sawah padi’ oleh orang ramai.

Meskipun Stadium Axiata Arena hanya mampu memuatkan seramai 11,000 hingga 16,000 ribu penonton, ianya juga membuatkan jualan tiket konsert penyanyi nombor 1 negara itu laris dijual dalam hanya dua jam!

Ekor Harimau Malaya pastinya berbangga dengan Datuk Seri Siti serta pihak pengurusannya atas sifat bertimbang rasa dalam pemilihan lokasi konsert demi kebaikan bersama.