Nafi dakwaan kecederaan sebagai punca salah faham, Pearly Tan anggap dugaan sakit suatu pengajaran hidup
“Injury saya tak ada kaitan dengan komunikasi di antara saya dengan Thinaah.”
Menafikan dakwaan konflik bersama pasangan beregunya Thinaah Muralitharan, Pearly Tan berkata hubungan beliau bersama pasangan beregunya kini berada dalam keadaan amat baik.
“Didalam sesebuah partnership, kadangkala tentunya ada perselisihan faham meskipun sedikit.”
“Apa yang penting adalah bagaimana kami mampu mengatasinya dari lebih melarat dan membaiki komunikasi antara kami.”
Katanya.
Hujung November lalu, pasangan beregu wanita utama negara itu telah terpalit isu salah faham yang telah mengakibatkan tewasnya 21-11, 15-21, 22-20 di perlawanan pusingan pertama Masters China kepada pasangan dari Korea Selatan, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong.
Beliau yang ditemui di Petronas Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi ini akui bahawa 2023 bukanlah suatu tahun yang cemerlang buat dirinya.
“Tahun ini banyak ‘naik turunnya’ kerana saya kerap kali jatuh sakit.”
Namun, Pearly mengambil dugaan itu dengan cukup positif dan menganggapnya sebagai suatu pengajaran dalam kehidupan jika dilihat dari sudut yang menyeluruh.
“Benar setiap haluannya amat memeritkan tapi saya tetap gembira sebab saya berjaya lalui satu demi satu cabaran sebegini.”
“Ini adalah antara perkara yang kita pelajari dalam kehidupan dan saya belajar tentang banyak perkara tahun ini.”
Jaguh badminton itu turut menyatakan bahawa beliau ingin memastikan kondisi kesihatannya lebih baik bagi persediaan tahun hadapan, melihatkan ianya adalah tahun yang amat penting bagi kesemua atlet negara.
Disoal mengenai keyakinan dirinya dalam menjadi atlet sulung bersama Thinaah dalam menggenggam pingat emas negara di kejohanan Olimpik Paris 2024, beliau berkata dirinya hanya ingin kekalkan momentum serta memajukan kelincahan permainan di dalam gelanggang.
“Percaya boleh capai atau tidak, kami hanya percaya dengan diri sendiri dan follow the flow.”
“Kami mahu terus tampilkan aksi yang terbaik.”