Ketiadaan penyokong yang ramai seperti di ‘home’ akan jadi cabaran besar buat kami pada Piala Asia – Kim Pan-gon

156

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui ketiadaan penyokong yang ramai seperti ketika beraksi di gelanggang sendiri akan memberi cabaran besar buat pasukannya pada Piala Asia 2023 akan datang.

Katanya, dua pasukan Timur Tengah yang diundi dalam kumpulan sama iaitu Jordan dan Bahrain pastinya akan mempunyai kelebihan seperti bermain di gelanggang sendiri.


“Cabaran besar adalah pada dua perlawanan pertama menentang pasukan Timur Tengah, bermain di Qatar mereka ibarat bermain di rumah sendiri jadi mental kami harus kuat.

Kami tahu penyokong tidak ramai ketika itu tetapi mereka ada dalam hati kami, selain itu kami harus tanamkan sifat patriotisme dalam diri kerana kami bukan sahaja bermain bola tetapi membawa nama Malaysia di pentas besar seperti ini,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika hari pertama kem latihan kebangsaan menjelang kejohanan Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 12 Januari depan.

Sementara itu, beliau menasihatkan para pemain supaya sentiasa merendah diri dan tidak memandang rendah pihak lawan pada kejohanan itu.

“Kita belajar daripada kejohanan sebelum ini supaya tidak terlalu yakin, harus ada perasaan rendah diri dan juga menghormati pihak lawan.

Saya percaya gabungan pemain muda dan berpengalaman dalam skuad ini adalah kombinasi yang baik.”

Dalam pada itu, Pan-gon mengakui perlawanan persahabatan tunggal menentang Syria yang telah diatur setakat ini tidak cukup untuk persiapan ke kejohanan itu.

Tambahnya, mereka akan cuba mencari pasukan lain yang sudi beraksi dalam perlawanan persahabatan sebelum Piala Asia 2023.