Ada yang komen saya tak layak ke Qatar, syukur Kim Pan-gon beri kepercayaan kepada saya – Sikh Izhan
Penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan bersyukur dipilih antara tiga penjaga gol dalam kem latihan untuk persediaan ke Piala Asia 2023 walaupun terdapat banyak lagi penjaga gol-penjaga gol berbakat yang lain di negara ini.
Beliau menganggap bahawa ini sebagai salah satu tahun terbaik dalam kariernya dan mahu mengambil sebanyak mungkin pengalaman di Qatar nanti.
“Saya bukanlah siapa-siapa, saya rasa ini adalah rezeki saya untuk tahun ini kerana sejak dari kem latihan pertama di Johor lagi saya sudah ada bersama pasukan, saya amatlah bersyukur diberi kepercayaan oleh Kim Pan-gon.
Saya tengok banyak juga komen yang menganggap saya tidak layak dipanggil tetapi saya ambil semua itu sebagai positif dan saya perlu lalui perkara-perkara seperti untuk menjadi lebih matang,”
katanya.
Tambahnya, jika diberi peluang beliau mahu berhadapan dengan bintang-bintang handalan dunia seperti Song Heung-min dan Hwang Hee-chan.
Bagaimanapun, beliau sedar bahawa Syihan Hazmi merupakan penjaga gol pilihan pertama dan beliau mahu belajar sebanyak mungkin daripada pemain itu.
“Kita tahu Syihan merupakan penjaga gol nombor 1 jadi untuk saya tiada apa-apa tekanan, persaingan antara dia, saya dan Azri Ghani adalah persaingan yang sihat.
Dalam masa yang sama saya juga dapat belajar daripada dia, selain ini dapat menjadi moral positif untuk dibawa ke Piala Asia B-23 pada April nanti.”
Sikh percaya Harimau Malaya mampu melangkah ke pusingan 16 terakhir dengan barisan pemain yang ada, dan juga tambahan pemain baharu seperti Romel Morales.