Program naturalisasi bagus untuk bola sepak Malaysia dan Harimau Malaya – Romel Morales

209

Pemain Harimau Malaya, Romel Morales berpendapat bahawa program naturalisasi adalah bagus untuk bola sepak Malaysia, khususnya untuk skuad kebangsaan dalam meningkatkan lagi tahap permainan.

Katanya, beliau dapat melihat tahap bola sepak di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa sepanjang enam tahun berada di sini dan berharap dapat menyumbang kepada peningkatan itu untuk masa hadapan.


“Saya rasa Malaysia telah lakukan dengan baik beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan kebangsaan telah meningkat dengan banyak.

Saya sendiri saksikan bagaimana semuanya meningkat dengan pantas, jadi ini adalah sesuatu yang bagus untuk bola sepak Malaysia dan juga pasukan kebangsaan itu sendiri,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada program naturalisasi patut diteruskan pada masa hadapan.

Jelas pemain itu, beliau tidak berfikir panjang apabila peluang untuk mewakili Malaysia tiba, dan bersetuju untuk dinaturalisasikan.

Tambahnya, beliau mahu memberikan sesuatu kepada bola sepak Malaysia selepas enam tahun berkelana di sini dan menganggap ini adalah tanggungjawab besar untuk dirinya membawa nama Malaysia.

Beliau mengakui agak gementar apabila pertama kali menyertai sesi latihan, namun menyifatkan hubungan yang baik antara semua pemain membantunya menyesuaikan diri.

“Jujurnya saya gementar apabila tiba semalam tetapi setakat ini semuanya baik dan saya dapat rasakan hubungan yang ada dalam pasukan ini sangat baik bagaikan sebuah keluarga, jadi agak mudah untuk saya menyesuaikan diri.

Saya sangat bersyukur dapat berada dalam pasukan ini, saya hanya mahu berikan yang terbaik dan saya tahu saya perlu pastikan tahap permainan saya sentiasa tinggi kerana ia adalah keperluan untuk berada dalam skuad ini.”

Morales berkata, beliau tidak kisah tentang posisinya sama ada sebagai penyerang utama atau posisi nombor 10, beliau sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang diletakkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.