Nelson San Martin mahu terus menabur bakti di Kedah

449

Bekas pemain lagenda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nelson San Martin menyuarakan hasratnya untuk kembali ke Malaysia untuk terus menabur bakti bersama bekas pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Nelson dalam satu postingnya di Facebook mendedahkan bahawa beliau sudah menyiapkan satu kertas kerja teknikal bola sepak dan pembangunan buat Kedah.


“Kertas kerja ini disediakan oleh saya dan Jorge Hoffmann yang merupakan salah seorang jurulatih dari Instituto Nacional De Futbol (INAF). Kertas kerja ini dibuat untuk pembangunan bola sepak Kedah bermula dari peringkat belia sehingga ke peringkat senior.

Ia adalah kombinasi daripada pengalaman saya bermain di Kedah dan pengetahuan dari kursus kejurulatihan,”

tulisnya.

Tambahnya lagi, kertas kerjanya itu boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan untuk Kedah atau mana-mana pasukan, pada masa sama membuktikan keghairahannya dalam dunia bola sepak terutamanya cinta terhadap pasukan Kedah.

Selepas menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak, Nelson kembali ke Kedah apabila mendapat peluang untuk menjadi ketua jurulatih pasukan Langkawi City FC.

Bagaimanapun selepas tamat kontrak, beliau terpaksa pulang ke kampung halamannya iaitu di Chile tetapi sangat berharap mendapat peluang untuk kembali pulang ke Malaysia.

Malah beliau akan berasa lebih teruja sekiranya mendapat tawaran daripada Kedah kerana mahu terus menabur bakti bersama bekas pasukannya itu.

Bagi peminat yang kurang mengenali Nelson, beliau merupakan salah seorang watak penting dalam kejayaan Kedah merangkul double treble pada musim 2006 hingga 2008 di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah.

Namun pada musim 2009, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan peraturan baru iaitu tidak membenarkan penggunakan import dalam Liga-M.

Beliau kembali ke Kedah pada 2013 selama semusim, kemudian berhijrah ke pasukan T-Team sebelum bersara sebagai pemain bola sepak.

Walaupun sudah tidak lama mempunyai sebarang kaitan dengan pasukan Kedah, namun cintanya terhadap bola sepak Kedah masih menebal sehingga kini.

Dengan Kedah dilaporkan dalam perancangan untuk merealisasikan projek mega bernilai RM70 juta untuk pembangunan bola sepak, adakah akan ada sinar harapan buat Nelson untuk kembali ke Darul Aman? Sama-sama kita tunggu.