Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk terima kecanggihan KSSA?

272

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Saari sahkan bahawa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah secara rasmi meluluskan proses perobohan Stadium Shah Alam bagi memberi ruang kepada pembikinan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) kelak.

Namun, menyentuh mengenai mentaliti kelas ketiga rata-rata rakyat Malaysia.


Sebanyak 60 peratus kawasan didalam KSSA dikhabarkan memiliki gelanggang ‘indoor’, dewan serbaguna, masjid, hotel, ruang acara, ruang jualan, serta lokasi konsert dan lebihan 40 peratus adalah kawasan rekreasi awam.

Padang di KSSA turut dilengkapi ciri-ciri moden – teknologi ‘retractable pitch’ yang boleh bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman.

Ianya yang dijangka siap menjelang tahun 2026 dilaporkan mencecah kos projek sebanyak RM787 juta, punyai keluasan sebesar 76.08 hektar dan mampu memuatkan kira-kira 35,000 hingga 45,000 penyokong.

Jadi, mampukah kita untuk bersama-sama mengekalkan kebersihan serta kecanggihan didalam kompleks sukan tersebut?

Sebagai contoh, perhatikan sahaja nasib Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang telah berbakti sejak 25 tahun yang lalu.

Keadaan padang yang menjadi ‘rosak’ tiap kali berakhirnya suatu konsert bagaikan perkara yang tidak asing lagi buat semua.

Kenderaan tidak diparkir ditempat yang disediakan serta dibiarkan ditepi jalan sekaligus menghalangkan lalu lintas.

Bekas plastik serta sampah sarap dibuang dimerata tempat begitu sahaja sejurus tamat suatu perlawanan dan konsert.

Ia kelihatan seperti hanya isu mudah namun sikap macam ini yang mahu rakyat Malaysia bawa tibanya KSSA?

KSSA akan dihasilkan serba moden dan lengkap dengan prasarana yang hebat, sikap mementingkan diri sendiri perlu dijauhkan secepat mungkin.

Tidak sanggup rasanya untuk melihat kompleks sukan sehebat itu bertukar menjadi sejenis ‘rumah hantu’ hasil perbuatan warga tempatan sendiri.

Sudah tentu KSSA akan menjadi pusat tumpuan ramai di dalam dan dari luar negara, ianya tanggungjawab semua untuk memastikan kecantikannya, bukan hanya tertakluk khas kepada kerajaan negeri Selangor atau badan yang terbabit sahaja.

Ianya juga secara tidak langsung akan menjadi stadium ‘tuan rumah’ buat pasukan The Red Giants bagi tahun-tahun yang mendatang.

Bagaimana negara ini ingin menjadi sebuah negara maju jika perkara sekecil itu juga belum dapat diselesaikan?

Tidak guna sekiranya Malaysia memiliki fasiliti bertaraf dunia kelas pertama namun penggunanya masih di takuk lama.

Tahun 2024 bakal menjelma, seharusnya perkara sebegini tidak boleh dipandang enteng lagi oleh masyarakat.

Perubahan perlu dilakukan dari individu itu sendiri untuk berani mengawal diri dari terus bertindak mengikut amarah masing-masing sekaligus melindungi harta benda awam demi kegunaan bersama.