Harimau Malaya di landasan yang tepat, Faisal Halim percaya Malaysia mampu intai ruang ke Piala Dunia
“Sekarang kita di landasan yang baik, ikut step by step. Di masa akan datang, mungkin kita ke Piala Dunia? Siapa tahu?”
Itu impian pemain penyerang skuad Harimau Malaya, Faisal Halim yang mempercayai ‘proses’ yang sedang dilalui pasukan itu ketika ini.
Menzahirkan kesyukuran kepada Ilahi diatas rezeki itu, beliau menganggap ianya sebuah kejohanan yang amat penting buat pasukan negara.
“Tiada sesiapa yang mampu membuat keputusan, semuanya hasil kerja keras kita semua.”
“Saya tidak pernah terfikir dari kecil untuk menjadi pemain bola sepak mewakili Malaysia. Ini semua rezeki dari Allah, saya amat terharu dan bangga.”
Jawabnya yang ditemui di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sebentar tadi.
Mickey yakin ianya suatu peluang keemasan buat pasukan negara, dimana kehadirannya bukan sekadar melengkapkan ‘kuota’, namun untuk menambah saingan yang sengit kepada kejohanan itu.
Penting bagi Mickey serta rakan-rakan seperjuangannya untuk memberi tumpuan penuh terhadap perlawanan yang pertama menentang Jordan pada 16 Januari ini.
“Kita tak perlu berfikir terlalu jauh, fokus pada perlawanan pertama. Ianya suatu turning point kepada kita.”
“Sekiranya rekodnya baik (tiga mata ataupun seri), ia sudah cukup memberikan semangat kepada pemain untuk melawan pasukan Bahrain.”
Menurut Mickey, beliau sempat bergurau sekaligus mencabar teman-teman dari Jordan yang beraksi bersamanya di Selangor FC, akan kehendak skuad kebangsaan untuk mengalahkan pasukan Jordan.
Disoal mengenai dirinya bersama pemain penyerang, Arif Aiman yang boleh dikatakan akan menjadi suatu ancaman kepada pihak lawan, Mickey menjawab bahawa persiapan rapi oleh pemain harus dilaksanakan.
“Setiap pemain perlu bersedia secara mental dan juga fizikal bagi memberikan prestasi yang terbaik.”
“Tentunya mana-mana pasukan juga membuat analisis yang spesifik.”
“Masing-masing diantara kita juga mempunyai analisis untuk sesebuah pasukan, namun yang menentukan adalah 90 minit di Qatar nanti.”
Beliau turut tidak menafikan tekanan yang tinggi dirasakan sepanjang minggu lalu oleh sebab pertukaran corak serta intensiti latihan yang berbeza oleh ketua jurulatih, Kim pan-gon.
“Ada lagi dua minggu untuk kami sesuaikan dengan cara latihan berintensiti tinggi sebegini, agar perlawanan lebih menarik.”