Komen ‘panas’ tidak patahkan semangat Natxo Insa beraksi di Piala Asia 2023!
Respon ‘jujur’ penyokong tegar skuad Harimau Malaya terhadap pemilihan pemain tengah, Natxo Insa didalam senarai pemain ke kem latihan baru-baru ini nampaknya tidak memberi apa-apa makna terhadap pemain itu.
Beliau yang ditemui di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sebentar tadi mengakui bahawa dirinya tidak membaca sebarang hantaran di media sosial.
“Sejujurnya saya tidak merasakan apa-apa kerana saya tidak mengikuti serta membaca tulisan di media sosial.”
Jawabnya sebelum berlepas bersama pasukan ke Qatar untuk menghadapi Piala Asia 2023.
Pada 19 Disember lalu, ramai penyokong serta warga net yang mempertikaikan kebolehan dan kelayakan Natxo Insa untuk beraksi bersama pasukan Malaysia, melihatkan dirinya yang sering kali dibangku simpanan dan tidak turun ke padang atas sebab kecederaan.
Beliau juga sempat menghargai semua yang tidak henti menyokong kariernya sehingga kini.
“Namun kepada yang tidak menyokong, ia tidak terkesan pun buat saya.”
Bagi Natxo, rakan-rakan seperjuangan yang turut serta dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sedikit sebanyak membantu keberadaannya dalam menyesuaikan diri di dalam skuad kebangsaan.
Pemain berpengalaman yang berasal dari Sepanyol itu ternyata amat teruja kerana tersenarai bersama pasukan Malaysia.
“Terus terang skuad kita adalah sebuah pasukan yang amat baik, mempunyai ramai pemain muda yang hebat-hebat belaka. Ianya secara keseluruhannya baik untuk semua pihak.”
Beliau percaya setiap perlawanan harus diberikan tumpuan yang penuh satu demi satu.
Natxo juga merasakan bahawa skuad kebangsaan adalah lebih profesional ketika ini.
“Pemain bekerja keras bermain dengan baik, ianya adalah perkara yang baik untuk negara.”
“Para pemain tidak boleh meletakkan tekanan yang melampau kepada diri sendiri. Perlu sentiasa respect satu antara lain.”