Rangkul tiga pingat hanya dalam empat bulan berganding, Haikal-Hon Jian mahu terus kukuhkan kedudukan

63

“Hanya dalam empat bulan gandingan bersama, kami berjaya kumpul tiga pingat!”

Keterujaan jelas terserlah pada wajah pasangan beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri dan Choong Hon Jian pabila mengenangkan kembali detik kemenangan berturut-turut yang diraih di India awal Disember lalu.

“Kami pulang ke bilik, tanya sesama sendiri – Hon, macam mana kita boleh menang ni? Kami memang tak jangka.”

Jawab Haikal kepada wartawan Harimau Malaya.

Mereka yang ditemui di Petronas Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi ini akui ianya suatu penutup yang cemerlang buat pasangan beregu itu.


“Namun, kami masih tengah usaha untuk berjaya di tahap kejohanan antarabangsa yang lebih tinggi.”

“Masih perlu familiar dengan perlawanan sebegitu selain dapat kumpul mata dengan banyak.”

Bulan lalu, Haikal dan Hon Jian telah berjaya mengungguli Kejohanan Antarabangsa Syed Modi dan Kejohanan Masters Guwahati 2023 hanya selang seminggu.

Di kejohanan yang pertama, mereka telah mengatasi pasangan dari Jepun, Akira Koga dan Taichi Saito dengan 18-21, 21-18, 21-18 dan membawa pulang wang kemenangan sebanyak US16,590 (RM76,314).

Manakala di kejohanan seterusnya, mereka menang mudah menentang Lin Bing-Wei dan Su Ching Heng dari Chinese Taipei dengan 21-17, 23-21.

Mereka telah menerima cek kemenangan berjumlah US7,900 (RM36,340).

Pasangan itu percaya kehadiran mereka di kejohanan Indonesia Masters hujung bulan ini akan dikelilingi saingan yang jauh lebih sengit.

“Kita harap dapat mempelbagaikan lagi corak permainan agar dapat kelirukan pihak lawan.”

“Orang akan study permainan kita, jadi kita tak boleh bermain dengan satu cara sahaja.”

Mereka turut merasakan antara pencabar terdekat buat mereka adalah pasangan beregu dari Jerman, Mark Lamsfuss dan Marvin Seidel.

Mengenai kelayakan pasangan beregu muda ini di Piala Thomas April kelak, mereka berdua meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada jurulatih serta pihak atasan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menilai tahap kebolehan mereka.

“Peluang terbuka kepada semua, sekiranya coach beri kami peluang untuk bermain di Piala Thomas, kami akan buktikan yang kami juga layak di sana!”