Skuad Harimau Malaya mula ‘mengaum’ dua minggu lagi, tayangan Piala Asia 2023 secara percuma masih dibincangkan?

174

Kali terakhir seluruh Asia dapat menyaksikan skuad Malaysia di pentas Piala Asia adalah pada tahun 1980.

Tatkala zaman yang memperlihatkan kegemilangan lagenda bola sepak Dato’ Mokhtar Dahari, Datuk James Wong, Bakri Ibni, Datuk Wira Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh, Datuk R. Arumugam, Hassan Sani dan ramai lagi.


Sememangnya penantian 44 tahun bukanlah suatu tempoh masa yang singkat.

Namun, suatu hantaran respon di aplikasi X dari Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman, pagi ini telah mencetuskan tanda tanya sebahagian warga net.

Disoal mengenai tayangan kejohanan berprestij itu di syarikat penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau menjawab bahawa hak penyiaran secara langsung masih didalam proses perbincangan.

Beliau turut memohon penyokong untuk kekal bersabar dan menanti keputusannya.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘masih dalam perbincangan’ melihatkan perlawanan kemunculan pertama Malaysia berbaki lagi dua minggu lagi menentang pasukan Jordan.

Barangkali ianya adalah mengenai kuota penyiaran yang mampu diberikan dari pihak penyiaran di Qatar untuk ditayangkan disini.

Malaysia akan terlibat dengan tiga perlawanan berasingan di pusingan kumpulan, iaitu menemui pasukan dari Jordan, Bahrain dan Korea Selatan, mungkin pihak penyiaran ingin mendapatkan kuota lebih dari tiga perlawanan sahaja.

Sebagai contoh, perlawanan skuad negara-negara Asia hebat yang lain berserta episod kemuncak perlawanan tersebut iaitu pusingan kalah mati di suku akhir, separuh akhir serta perlawanan akhir.

Tidak mustahil juga dana yang diperuntukkan sedang dikemaskini secara menyeluruh, melihat keadaan ekonomi yang kurang baik ketika ini dan juga nilai mata wang ringgit yang semakin merosot.

Rugilah sekiranya satu-satunya syarikat penyiaran milik kerajaan tidak dapat menayangkan kejohanan tersebut, memandangkan ianya ‘mampu milik’ oleh semua!

Rakyat Malaysia mungkin akan lebih memilih untuk melanggan saluran sukan dari syarikat penyiaran yang berbayar demi tidak terlepas dari menonton aksi skuad Harimau Malaya.

Tentunya ramai Ekor Harimau Malaya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menyaksikan serta memberikan sokongan padu kepada bintang-bintang pasukan itu meskipun dari jauh.

Disarankan siaran skrin besar juga turut menjadi salah satu alternatif penyokong bola sepak tanah air untuk menyaksikan kesemua perlawanan tersebut.

Ianya seharusnya diletakkan di kawasan lapang seperti Dataran Merdeka, Dataran Putrajaya, Dataran Shah Alam dan juga lokasi-lokasi tumpuan orang ramai di setiap Ibu Negeri.