Main e-Sports pun ada ‘future’! MQN Rajabos bukti dari hobi juga boleh bawa untung lumayan
“Jadikan ia suatu hobi, tapi yang kompetitif dan menguntungkan.”
Itu pandangan juara EAFC24 Pro December Regional – Asia South, MQN Rajabos atau nama sebenar beliau, Ahmad Farid Ab Aziz mengenai sukan e-Sports yang semakin mendapat tempat dihati warga belia tanah air.
Beliau merasakan adalah lebih baik sekiranya penggemar sukan itu untuk terus memajukan diri sehingga menjadi seorang atlet, agar ianya juga tidak dianggap hanya sebagai suatu ‘hobi kosong’.
“Sekarang ada banyak tournaments. Kalau nak main, sebaiknya main dengan kompetitif.”
Jawabnya kepada wartawan Harimau Malaya.
Selain dapat merapatkan jurang bersama atlet e-Sports dari serata dunia, Farid tidak menafikan bahawa sukan itu amat baik dalam menguatkan kekuatan mental seseorang individu.
Beliau turut menyetujui bahawa sukan e-Sports boleh diibaratkan seperti pemainan catur (chess) yang lebih ligat memikirkan taktikal didalam minda meskipun tidak menggunakan banyak pergerakan anggota badan.
Farid yang mengungguli kejohanan itu pada 16 dan 17 Disember lalu telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$3,750 (RM17,358).
Atlet e-Sports yang bermain perlawanan bola sepak FIFAe itu telah bersaing bersama wakil-wakil dari selatan Asia, iaitu seramai 64 pemain dari beberapa negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thalland, Vietnam dan India.
Meminati sukan bola sepak sejak kecil, beliau juga pernah mewakili negara ke London sebelum ini dan bersaing bersama atlet e-Sports yang hebat-hebat belaka!
“Corak permainan mereka sedikit sebanyak telah membantu saya untuk menaikkan keyakinan diri, kerana cara mereka bermain sememangnya berbeza.”
Farid percaya bahawa pemain junior diluar sana harus kekal yakin dengan kredibiliti masing-masing selain bijak menganalisa gaya permainan atlet cemerlang yang lain.
Baginya, penting buat pemain berjaya mengawal emosi agar tidak membataskan tindak tanduk permainan seterusnya.
“Jaga dan kawal emosi, jangan cepat ‘koyak’.”