Peminat kecewa FAM beri mata percuma kepada lawan KL City FC di MPFL
Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2022 telah pun berlangsung, namun terdapat cerita kurang enak kepada peminat dan pasukan KL City FC apabila dua lawan mereka diberikan mata percuma.
Keputusan itu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak FAM (FAM) yang memberikan TOT United dan Selangor MAC kemenangan 5-0 selepas perlawanan itu tidak dapat diteruskan berikutan beberapa pemain mereka positif COVID-19.
Bagaimanapun keputusan FAM nyata tidak disenangi oleh peminat yang menyifatkan keputusan itu tidak adil dan sangat mengecewakan.
Salah seorang peminat Hafiz Hiew yang juga merupakan penaja pasukan Selangor FC nyata kecewa dan berkata pihak FAM sepatutnya mengubah peraturan untuk penundaan perlawanan.
“Sangat mengecewakan. Sebesar-besar sukan luar negara seperti NBA, EPL dan lain-lain ubah peraturan untuk penundaan perlawanan jika tidak cukup pemain akibat COVID19 dan Safety Protocols.
Ini KL dan Selangor jarak 1 jam tidak sampai takkan tidak dapat ubah tarikah sahaja bagi laluan orang habis kuarantin? Sebagai pemilik syarikat TDC yang menaja pasukan Selangor FC, saya boleh sahaja memihak kepada SFC namun keputusan FAM ini betul-betul tidak adil dan terlalu ketinggalan zaman berbanding cara sukan antarabangsa menangani perlawanan akibat COVID19,”
tulisnya di ruangan komen Facebook FAM.
Seorang lagi pengguna Facebook iaitu Sam Peruyasamy pula berkata keputusan yang dibuat FAM ini nyata memperlihatkan mereka tidak bersedia untuk menganjurkan pertandingan ketika pandemik.
“Majoriti persatuan sukan di dunia sudah ada peraturan mengenai situasi COVID ini yang mana kepentingannya adalah kesihatan dari sukan.”
Kebanyakkan komen-komen netizen yang tidak berpuas hati dengan keputusan FAM bukanlah daripada peminat KL sahaja, tetapi juga peminat dari pasukan lain yang nyata bersimpati dengan situasi pasukan itu.
Terdahulu satu kenyataan daripada FAM menerusi Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar telah membuat keputusan tersebut selaras dengan peruntukan pada Perkara 6(6-1)(6-1-1) iaitu ‘Keputusan Perlawanan Yang Tidak Dapat Diteruskan’ seperti yang terkandung dalam Peraturan Tambahan Penganjuran Pertandingan 2022.