Amar Makruf rela terima gaji kecil main di luar negara dari gaji mewah main di Malaysia

655

Pemain muda tanah air kelahiran Dungun, Amar Makruf telah menjadi bualan ramai selepas beliau menandatangani kontrak bersama kelab Segunda Division ES, Agrupacion Deportiva Alcorcon (AD Alcorcon).

Amar yang akan beraksi dengan skuad B-23 selama dua musim itu mendapat perhatian pencari bakat ketika bersama akademi The Next Generation Sports (TNGS) yang berpengkalan di Valencia, Sepanyol.


Sumber foto: Amar Makruf IG

Pemain berusia 19 tahun itu nyata teruja apabila mendapat peluang untuk bermain di liga luar negara berkata beliau sepatutnya bersama kelab itu pada bulan Julai lalu, namun gara-gara pandemik, proses untuk ke sana berlarutan sehingga tahun ini.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan kini saya baru sahaja memulakan latihan bersama rakan sepasukan. Saya masih lagi cuba menyesuaikan diri di sini terutamanya dengan rakan sepasukan dan jurulatih kerana masalah utama adalah masalah komunikasi.

Bagaimanapun saya yakin dapat sesuaikan cepat kerana ini adalah kali kedua saya di sini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bermain di posisi sayap kiri, Amar tidak menafikan ada rakan sepasukan yang memandang rendah kepadanya di atas padang apabila mendapat tahu dia berasal dari Malaysia, tetapi ia sedikit pun tidak melemahkan semangatnya.

Dalam pada itu, Amar berkata dia akan menggunakan peluang yang ada untuk terus berusaha dengan lebih keras lagi untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama sekaligus dapat membuka peluang untuk bermain di tahap lebih tinggi.

Malah Amar juga sanggup terima gaji yang sedikit demi menimba pengalaman di liga luar berbanding gaji mewah tapi main di Liga Malaysia.

“Saya pegang kata-kata kapten pasukan Thailand, Chanathip Songkrasin yang berkata ‘beliau lebih rela terima gaji rendah demi main di liga tertinggi’.

Jadi saya secara peribadi akan ikut jejak langkah Chanathip untuk tidak fikirkan soal gaji sebaliknya fikir untuk main di liga terbaik,”

jelasnya.

Dalam pada itu, Amar turut menyarankan agar pemain-pemain muda yang tidak mendapat peluang bermain di negara sendiri jangan cepat mengalah atau putus asa, sebaliknya terus cuba dan jika ada peluang untuk berkelana di luar negara, jangan sia-siakan peluang tersebut.

Tetapi jika mahu berkelana di luar negara, lakukan persediaan dari segi mental dan fizikal supaya mampu bersaing dan buktikan pemain Malaysia juga ada kualiti.