Imran Anuar wujudkan ‘FB pages & group chat’ untuk bantu peminat Malaysia ke Qatar untuk Piala Asia 2023

131

Kejohanan Piala AFC 2023 bakal membuka tirainya esok 12 Januari dengan pasukan tuan rumah Qatar akan turun menentang Lubnan di Stadium Lusail dan ia telah mencetuskan keterujaan peminat bola sepak di seluruh Asia.

Peminat Malaysia juga tidak ketinggalan merasai bahang saingan Piala Asia kali ini berikutan pasukan kesayangan Harimau Malaya akan turut turun beraksi selepas menamatkan kemarau lebih 40 tahun layak secara merit.


Disebalik keterujaan peminat skuad negara yang dikenali sebagai Ekor Harimau, kebanyakan peminat juga sedikit bimbang dan tidak pasti bagaimana urusan di Doha sekiranya mereka mengambil keputusan untuk hadir ke bumi Timur Tengah untuk beri sokongan buat skuad negara.

Susulan itu, seorang peminat tegar Harimau Malaya iaitu Imran Anuar dan rakan-rakannya yang menetap di Qatar telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Facebook Page AFC Asian Cup Qatar 2023 – Malaysia dan ‘group chat’ Whatsapp bagi membantu peminat-peminat di Malaysia untuk turun ke stadium.

“Bila Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 Qatar, saya rasa dengan pengalaman yang saya ada menganjurkan acara membuatkan saya rasa inilah peluang untuk saya membantu peminat Malaysia yang ingin datang ke Qatar.

Saya faham ramai macam tidak pasti mengenai kos, penginapan dan apa yang boleh dibuat jadi saya nampak ramai peminat Malaysia yang hadapi masalah ini dan oleh sebab itu saya wujudkan FB Page AFC Asian Cup Qatar 2023 – Malaysia dan ‘group chat Whatsapp’ yang dijadikan sebagai platform untuk mereka rujuk.

Dari situ mereka boleh tanya apa sahaja soalan kepada saya dan rakan-rakan yang menetap di Qatar yang mana kami akan bantu warga Malaysia yang akan datang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Imran, antara bantuan yang diberikan seperti informasi jadual perjalanan, hotel, program-program yang bakal dianjurkan, pergerakan Ekor Harimau pada hari perlawanan nanti dan pelbagai lagi.

Selain membantu peminat dari Malaysia, beliau turut bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab untuk membakar semangat peminat untuk turun ke Qatar bagi memberi sokongan buat anak buah Kim Pan-gon nanti.

Sementara itu, Imran sendiri turut teruja menanti aksi pertama Malaysia kerana skuad negara kini sangat berbeza berbanding dahulu.

“Apa yang saya lihat pasukan Malaysia kini tak sama seperti 10 tahun yang dahulu. Kita sekarang ini bukan lagi pasukan belasahan jadi dengan ramai pemain-pemain baru dan bintang seperti Arif Aiman dan pemain warisan seperti Dion Cools yang mana di setiap posisi kita ada kekuatan, tidak nampak kelemahan.

Setelah lebih 40 tahun Alhamdulillah kita layak ke piala yang sangat berprestij di Asia yang boleh dikatakan piala kedua selepas Piala Dunia. Jadi bukan senang untuk kita layak kerana ia satu penantian yang cukup layak kerana kali terakhir kita layak secara merit pada tahun 1980 tapi kali ini berbeza kerana kita mempunyai skuad yang kuat.

Tidak hanya mempunyai pemain yang bagus, kita juga mempunyai barisan kejurulatihan yang cukup bagus.”

Tambahnya lagi, biarpun Malaysia merupakan pasukan yang berada di kedudukan terendah dalam kumpulan berbanding Jordan, Bahrain dan Korea Selatan tapi beliau yakin skuad negara mampu mara ke pusingan 16.