Setuju beraksi di BATC, Lee Zii Jia terus cekal kembalikan kepercayaan ramai pihak
Lee Zii Jia sahut cabaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mewakili Malaysia ke Badminton Asia Team Championship (BATC)? Biar betul!
Mungkin ini adalah salah satu peluang terbaik buat jaguh badminton itu untuk mengembalikan kepercayaan ramai pihak serta para peminat sukan badminton atas prestasi kariernya.
Kenyataan yang disahkan oleh Team LZJ menerusi ciapan di laman media sosial X malam semalam, ternyata menerima respon positif dari ramai penyokong sukan tersebut.
Meskipun tewas 21-16 21-19 15-21 kepada pemain perseorangan dari China, Lu Guangzu di pusingan pertama Petronas Terbuka Malaysia Selasa lalu, pemain berusia 25 tahun itu nampaknya tetap cekal untuk meneruskan perjuangan beliau.
Menjurus tamat perlawanan tersebut, Zii Jia dengan rendah diri menjelaskan kepada media bahawa dirinya juga belum dapat mengagak kehadiran detik manis kembali buatnya.
Namun, panggilan yang disahut beliau ini membuktikan bahawa dia tidak mudah berputus asa sekaligus ingin terus mengambil peluang keemasan dalam mewakili Malaysia.
Semangat juang beliau sebegini seharusnya dipuji dan diberikan suntikan motivasi agar beliau dapat mengekalkan semangat ini sepanjang tahun.
BATC akan berlangsung mulai 13 sehingga 18 Februari depan di Shah Alam, ianya juga bertindak sebagai kelayakan serantau bagi kejohanan Piala Thomas dan Uber pada April.
Antara negara Asia yang bakal bertanding adalah Indonesia, Singapura, India, Jepun dan Hong Kong.