Hamidin Amin individu paling tepat untuk menerajui FAM – Windsor John
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mengakui Datuk Hamidin Mohd Amin merupakan individu yang paling tepat untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak.
Menurut Windsor John, Hamidin mempunyai spektrum yang cukup luas iaitu dari dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.
“Untuk masa ini Datuk Hamidin adalah seorang Presiden yang tepat untuk persatuan dan juga untuk kerajaan kerana saya tahu beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan kerajaan sendiri.
Kita nak bangunkan bola sepak, kita perlukan bantuan daripada kerajaan sebab yang buat infrastruktur adalah kerajaan, yang boleh bantu dalam dana adalah kerajaan, jadi kita tidak boleh berfungsi secara berasingan.
Jadi bagi saya apabila seseorang Presiden mempunyai spektrum yang sangat luas dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi ia beri satu kelebihan buat beliau untuk urus persatuan dengan lebih baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, dengan pengalaman yang cukup luas Hamidin mempunyai visi dan misi jelas untuk bantu bola sepak tanah air.
“Pengalaman yang cukup luas itu yang paling penting. Beliau pernah jadi pemain daripada kelab kepada pasukan negeri, kemudian FAM, ASEAN, AFC dan FIFA sebagainya.”
Pengalaman luas itu juga memberinya kelebihan buat dirinya untuk mengurus persatuan dengan lebih baik kerana beliau tahu apa yang diperlukan.
Sejak mengambil alih kerusi ‘panas’ FAM pada tahun 2019, Hamidin telah berjaya membawa perubahan yang cukup besar dalam pasukan kebangsaan dan menjadi watak penting dalam kejayaan skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas lebih 40 tahun.
Pasukan kebangsaan akan memulakan kempen Piala Asia mereka pada 15 Januari ini menentang Jordan, kemudian Bahrain sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang gergasi Asia iaitu Korea Selatan.