Selagi pemain naturalisasi diperolehi ikut peraturan FIFA, bagi saya tiada masalah – Windsor John

87

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memberitahu negara besar seperti Jerman, Perancis, China dan negara-negara lain sudah menerima baik program naturalisasi dalam bola sepak di negara masing-masing.

Menurut Windsor John, kebanyakan negara ketika ini sudah menerima hakikat bahawa bola sepak kini tidak mempunyai sempadan.


“Kalau kita lihat di China mereka mempunyai pemain naturalisasi biarpun jumlah rakyat mereka lebih satu billion dan kalau kita melihat Perancis, Jerman dan sebagainya banyak negara menerima hakikat bahawa bola sepak tidak mempunyai sempadan.

Selagi pemain-pemain ini diperolehi mengikut peraturan yang ditetapkan oleh FIFA dan tidak melanggar mana-mana peraturan, bagi saya tiada masalah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya lagi, untuk meningkatkan mutu perlawanan bola sepak di sesebuah negara, prestasi pasukan kebangsaan amat penting.

Beliau juga berkata mungkin negara-negara yang menggunakan pemain naturalisasi dan warisan sebagai strategi jangka masa pendek untuk dapatkan kejayaan bagi mendapatkan pelaburan.

“Kita harus lihat ia mungkin satu strategi jangka masa pendek untuk dapatkan kejayaan sebab kita perlukan kejayaan untuk dapatkan pelaburan. Tiada kejayaan, tiada pelaburan.

Jadi kejayaan itu perlu dan kejayaan itu mungkin jangka masa pendek dengan gunakan pemain naturalisasi. Jangka masa panjang adalah untuk membangunkan pemain-pemain tempatan.

Tapi membangun sahaja tidak mencukupi jika tiada kejayaan.”

Dalam pada itu, beliau turut mengakui strategi Malaysia dalam menggunakan pemain naturalisasi adalah strategi yang betul untuk tingkatkan kejayaan supaya mereka dapat bangunkan bola sepak dari akar-umbi.

Tambahnya lagi, impaknya daripada strategi itu dapat dilihat apabila semua orang di Malaysia ketika ini ternanti-nanti perlawanan pertama Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia 2023 yang membuka tirainya pada hari ini.

“Mungkin ini satu fasa sementara, mungkin ia adalah strategi mereka tapi kalau kita lihat hari ini semua orang di Malaysia sedang menunggu perlawanan pertama Malaysia.

Orang tak pernah tengok bola pun mungkin sedang menunggu sebab ada banyak kesedaran media tentang Piala Asia.

Saya rasa selepas mana-mana pasukan mencapai satu kejayaan besar, tidak ada orang akan cakap mengenai pemain naturalisasi atau warisan.”