Kami turun beraksi esok untuk kutip tiga mata penuh – Kim Pan-gon

203

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon memberitahu bahawa sasaran mereka esok adalah untuk mengutip tiga mata penuh apabila turun beraksi menentang Jordan dalam perlawanan pertama kumpulan Piala Asia 2023.

“Ya saya rasa kami sudah pun membuat perancangan rapi untuk perlawanan menentang Jordan termasuk melakukan beberapa simulasi perlawanan dan semuanya berjalan dengan baik sekali.

Pemain-pemain saya sangat yakin dan sasaran kami esok adalah untuk mendapatkan tiga mata,”

katanya.

Pan-gon juga berkata kedudukan ranking Jordan yang lebih baik daripada Malaysia tidak memberinya makna apa-apa kerana anak buahnya telah membuktikan bahawa mereka tidak hanya mampu beri cabaran hebat tetapi juga mampu menang.


“Kedudukan ranking semasa Malaysia kini berada di tangga ke-130 dunia manakala Jordan berada di kedudukan ke-87. Memang terdapat perbezaan ketara, anda katakan pasukan anda kuat.

Tapi seperti yang saya katakan kami pernah bermain dengan pasukan yang setaraf dengan Jordan iaitu enam perlawanan dalam tempoh beberapa bulan yang menyaksikan kami berjaya dua menang, tiga seri dan hanya satu kekalahan.”

Tambahnya lagi, beliau sedar bahawa tiga pasukan dalam kumpulan mempunyai kelebihan terutamanya Jordan dan Bahrain yang boleh dikatakan seperti bermain di tempat sendiri, tapi pasukannya akan beri cabaran hebat  untuk mara ke pusingan 16.

Dalam pada itu, pengendali dari Korea Selatan itu berkata beliau mahu pasukannya teruskan momentum cemerlang mereka untuk kempen Piala Asia kali ini.

Beliau juga tidak bimbang dengan kecederaan yang dihadapi oleh beberapa pemain dan sudah bersedia untuk memulakan kempen dengan langkah kanan.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa sasaran utama mereka adalah untuk beri kegembiraan kepada peminat Malaysia.

Skuad Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juga Korea Selatan.