Pasukan Malaysia semakin bagus dan banyak pemain Jordan bermain di sana – Hussein Ammouta
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jordan, Hussein Ammouta mengakui pasukan Malaysia semakin memperlihatkan peningkatan yang positif dan berjaya menarik ramai pemain import berkualiti termasuk pemain daripada Jordan sendiri.
Hussein berkata demikian selepas pasukannya berjaya menewaskan Malaysia 4-0 dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Asia 2023 semalam.
“Bercakap mengenai separuh masa kedua normal untuk pasukan lawan yang ketinggalan akan menekan kepada pasukan anda, Malaysia pasukan yang baik dan sedang berkembang dengan baik.
Liga Malaysia juga berjaya tarik ramai pemain import berkualiti sekaligus menaikkan kualiti permainan mereka dan beberapa pemain Jordan juga bermain di sana.
Jadi normal untuk kami cuba bermain sedikit bertahan untuk menyerap segala serangan daripada pihak lawan yang sedang mengejar gol,”
katanya.
Beliau pada masa sama turut menuntut pemain-pemainnya untuk meneruskan momentum untuk perlawanan seterusnya.
“Pemain-pemain berjaya mempamerkan kemampuan sebenar mereka dan kami sangat yakin dengan kemampuan jadi keputusan malam ini cukup baik untuk kami dan mahu teruskan momentum untuk perlawanan seterusnya.”
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Mahmoud Al Mardi tidak mengalami kecederaan serius biarpun pemain itu dikeluarkan awal.
“Beliau hanya cedera ringan yang hanya perlukan masa dua atau tiga hari untuk pulih sepenuhnya. Mardi merupakan tonggak utama pasukan kerana beliau mempunyai karisma dan karakter.”
Sementara itu, beliau berkata kemenangan ke atas Malaysia telah memberi anak buahnya tonik tambahan dan keyakinan untuk bertemu dengan gergasi Korea Selatan.