Pasukan ‘underdog’ yang lain tetap jaringkan gol, Malaysia juga pasti boleh!
Hampa, hanya itu yang dapat dirasai rata-rata seluruh rakyat Malaysia tengah malam tadi dalam menyaksikan sendiri ‘tumbangnya’ skuad Harimau Malaya di kemunculan sulung Piala Asia 2023.
Malaysia yang menentang pasukan Jordan seakan ‘hilang punca’ meskipun di babak pertama perlawanan yang sudah ‘dikunci’ oleh pihak lawan dengan tiga jaringan gol hanya dalam 30 minit perlawanan.
Mengapa tiada langsung jaringan yang berjaya membolosi gawangan gol Jordan?
Jika diperhatikan sebelum ini, pasukan kebangsaan sepertinya sudah amat bersedia dan dipercayai oleh ramai dalam memberikan persembahan di paras optimum.
Contohnya sewaktu kejohanan pusingan kelayakan Piala Dunia pertengahan November lalu, Malaysia mencatatkan kemenangan dalam melawan Kyrgyzstan 4-3, selain memperoleh keputusan seri dua sama ketika bertemu pasukan Syria bagi perlawanan persahabatan minggu lalu.
Rekod Malaysia sebelum itu juga menunjukkan prestasi yang cemerlang, namun kenapa ianya berubah 360 darjah tengah malam tadi?
Pasukan lain yang turut boleh dikatakan sebagai underdog seperti Vietnam, Indonesia, Hong Kong dan Palestin juga telah menghasilkan jaringan gol di kejohanan berprestij itu, meskipun tewas.
Sebagai rekod, dalam kumpulan D, Vietnam telah menghadiahkan dua gol ketika menentang Jepun Ahad lalu, manakala Indonesia memberikan gol tunggal sewaktu melawan Iraq malam semalam.
Di dalam kumpulan C pula, Hong Kong mencatatkan satu gol ketika bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) Ahad lalu dan Palestin membolosi satu gol pabila menentang pasukan Iran malam tadi.
Dimanakah ‘ngauman’ skuad Harimau Malaya yang semua kenali?
Pasukan yang dibarisi bintang-bintang tempatan seperti (Faisal Halim, Arif Aiman), warisan (Corbin Ong, Dion Cools) serta naturalisasi (Romel Morales) yang hebat tetap tidak mampu memecah kebuntuan perlawanan itu.
Selain itu, skuad kebangsaan telah mendapat bantuan dan dikemudi oleh jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon yang sudah membantu dalam menaikkan ranking FIFA negara di tempat ke-130 dunia.
Ada yang menyebut mengenai teknik ‘percubaan’ yang dibawakan oleh Pan-gon, namun nampaknya tindakan beliau seakan tidak mengena tempatnya.
Nampaknya Malaysia memang sudah setaraf dan ‘sekelompok’ dengan pasukan Vietnam, Indonesia, Hong Kong dan Palestin namun tetap mereka berjaya menembusi sekurang-kurangnya satu gol.
Jika mereka mampu, mengapa tidak kita?
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan pasukan Bahrain pada pukul 10.30 malam Sabtu ini.
Dipercayai mereka adalah saingan yang lebih sengit berbanding Jordan.
Mampukah Malaysia menghadiahkan gol pertama di Piala Asia 2023 sekaligus mengembalikan kepercayaan para penyokong? Sama-sama kita nantikan.