Amar Makruf bersyukur dapat sokongan keluarga main di Sepanyol

279

Pemain muda Amar Makruf menyangkal dakwaan segelintir pihak yang berkata dia dapat peluang bermain di liga luar negara kerana bantuan keluarga.

Menurut Amar, dia tidak menafikan yang keluarganya banyak membantu dalam memberinya peluang untuk bermain di luar negara, tetapi dia telah buktikan dirinya mempunyai bakat apabila menandatangani kontrak bersama kelab Segunda Division ES, Agrupacion Deportiva Alcorcon (AD Alcorcon).


“Saya bersetuju jika ada orang cakap saya tak ikut prosedur untuk main di luar negara kerana tak semua orang dapat peluang seperti saya yang mana keluarga besar memberi sokongan dan peluang untuk realisasikan impian saya.

Tetapi saya tak bersetuju jika orang cakap saya dapat main sebab ‘bantuan keluarga’ kerana saya sendiri sudah buktikan kemampuan saya apabila sertai AD Alcorcon,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: Amar Makruf IG

Bercerita lanjut bagaimana dia berjaya menarik minat kelab itu, Amar berkata ketika dia beraksi bersama akademi The Next Generation Sports (TNGS) yang berpengkalan di Valencia, Sepanyol, seorang ejen bola sepak tertarik dengan aksinya.

Tambahnya, selepas itu pihak ejen itu telah menghubungi bapanya untuk memaklumkan bahawa AD Alcorcon berminat untuk menandatanganinya bersama kelab itu.

Amar tidak melepaskan peluang itu apabila bersetuju dan kini sudah pun secara rasmi menyarung jersi AD Alcorcon yang mana dia akan bermain untuk skuad B-23 di posisi sayap kiri.

Ketika ini Amar tinggal di residensi kelab itu dan sedang mencari kediaman baru yang lebih dekat dengan tempat latihan.

“Sekarang ini saya perlu nak bas, keretapi dan jalan kaki untuk sampai ke tempat latihan yang mana ia mengambil masa hampir dua jam. Jadi ketika sekarang ini saya cuba untuk cari tempat baru yang lebih dekat dengan tempat latihan.”

Selain kediaman jauh, Amar juga berdepan dengan masalah makanan yang mana dia kini lebih selesa masak sendiri.

Bagaimanapun segala cabaran itu tidak langsung melemahkan semangatnya, sebaliknya membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

Dalam pada itu, Amar juga tidak akan menolak sekiranya mendapat panggilan daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan jika dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.