Keputusan perlawanan pertama beri lebih tekanan untuk perlawanan menentang Bahrain – Darren Lok
Penyerang pasukan kebangsaan, Darren Lok memberitahu keputusan perlawanan pertama menentang Jordan pada Isnin lalu telah menambah lagi tekanan kepada pasukan yang bakal turun beraksi dalam perlawanan kedua kumpulan menentang Bahrain pada 20 Januari ini.
“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan menentang Bahrain yang mana kita perlu menang sekiranya mahu mara ke pusingan 16, jadi setiap perlawanan yang dihadapi pastinya ada tekanan kerana ia adalah satu tanggungjawab besar bermain untuk negara dan juga satu penghormatan.
Jadi kami tahu apabila turun beraksi banyak mata yang memandang kerana mereka meletakkan harapan tinggi kepada kami kerana keputusan yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
Keputusan perlawanan pertama beri lebih tekanan untuk perlawanan kedua menentang Bahrain tapi kami sudah bersedia untuk memperbaiki kelemahan pada perlawanan pertama,”
katanya.
Skuad Harimau Malaya membuka tirai kempen Piala Asia 2023 dengan langkah kiri apabila tewas 4-0 dalam aksi serba tidak kena buat skuad negara.
Ketua jurulatih Kim Pan-gon dalam sidang media selepas perlawanan turut mengakui pasukan lawan lebih kuat dari jangkaan mereka menyebabkan anak buahnya gagal untuk menyerang tekanan.
Dalam pada itu, Darren juga tidak kisah digandingkan dengan sesiapan sahaja dalam kesebelasan utama kerana setiap pemain sudah memahami antara satu sama lain.
“Keputusan untuk menggandingkan saya adalah keputusan daripada ketua jurulatih yang akan menentukan pemain mana yang akan diturunkan dan di mana beliau akan meletakkan posisi pemain.
Bagi saya, saya tidak kisah bergandingan dengan siapa kerana kami pemain profesional, tambahan pula kami sudah lama bermain bersama jadi kami sudah memahami permainan masing-masing.”
Sementara itu, biarpun tewas skuad kendalian Pan-gon masih lagi berpeluang untuk mara ke pusingan 16 namun berdepan tugas cukup sukar kerana mereka wajib menang dalam perlawanan menentang Bahrain dan cuba untuk seri dengan gergasi Korea Selatan dalam perlawanan terakhir pada 25 Januari ini.